Perlis–PFS Perluas Kerjasama Pendidikan ke Peringkat Strategik

14 Ogos 2025. Georgetown, Pulau Pinang. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar kolaboratif strategik di antara negeri Perlis dan Penang Free School (PFS) bukan hanya dalam bentuk pertukaran atau lawatan pelajar sahaja, malah kerjasama ini wajar diperluaskan lagi kepada program kokurikulum serta inisiatif pembangunan pelajar yang bersifat dua hala.

Baginda bertitah, ‘Dengan Semangat sinergi ini, saya yakin kedua-dua pihak akan terus melahirkan generasi berdaya saing, berfikiran global tetapi tetap berpaksikan jati diri yang kukuh dan maju serta mampu untuk melangkah ke tahap yang lebih membanggakan’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap agar Penang Free School dapat mengekalkan nama baik sekolah ini sebagai antara institusi pendidikan tertua dan berprestij di Malaysia. Baginda doakan agar Penang Free School terus maju jaya dalam melahirkan generasi yang berjiwa besar.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari sempena Lawatan Peserta Bengkel Jati Diri Yang Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik Serta Pengawas Terpilih Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perlis anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ke Penang Free School di Georgetown, Pulau Pinang.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan disambut oleh Pengetua Penang Free School, Syed Sultan Shaik Oothuman.

Program tersebut dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Bank Rakyat. (YBR).

Majlis santapan tersebut turut dihadiri sebahagian pelajar tingkatan empat dari Penang Free School dan 103 pelajar terpilih dari Perlis.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan replika cek bernilai RM10,000, sumbangan YTSP Perlis kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PFS yang diterima oleh Yang Dipertuanya, Rabikha Hasni Suparman.

Baginda yang juga merupakan salah seorang alumni PFS bersekolah di situ selama setahun pada 1983 sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara menzahirkan bahawa lawatan ini bukanlah penamat, sebaliknya merupakan permulaan baharu kepada jalinan hubungan yang lebih erat antara Negeri Perlis dan Penang Free School.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content