KANGAR, 12 Januari 2026 — Negeri Perlis bakal melakar sejarah baharu dalam pembangunan bahasa dan sastera apabila Majlis Anugerah Sastera Negeri Perlis dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini.
Inisiatif penganjuran anugerah berprestij itu mencerminkan komitmen berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan kesusasteraan tempatan serta mengiktiraf tokoh dan pengkarya yang telah menyumbang secara signifikan kepada perkembangan bahasa dan budaya Melayu, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis.
Seiring dengan itu, DBP turut merancang pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam kalangan penjawat awam negeri. Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh jati diri kebangsaan, meningkatkan kecekapan berbahasa serta memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.
Perkara tersebut dipersembahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Beliau memaklumkan demikian selepas mengiringi Raja Muda Perlis berangkat mengadakan lawatan ke Projek Pembangunan Masjid Al-Kauthar, Kampung Paya, Beseri, sempena Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Menurut beliau, kerja-kerja akhir pembinaan masjid tersebut kini sedang dilaksanakan dan disasarkan dapat dibuka untuk kegunaan orang ramai sebelum bermulanya bulan Ramadan yang akan datang.
Berangkat sama mengiringi Baginda ialah anakanda Baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Pengarah ICU Perlis Maznah Musa, serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Dalam perkembangan berkaitan, Haji Mohd Salahuddin turut memaklumkan bahawa beberapa perbincangan strategik telah diadakan, termasuk kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi penganjuran Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi, selain penerbitan bersama DBP–UniSIRAJ yang akan menghasilkan sebuah buku baharu sebagai sumbangan ilmiah dan intelektual.
DBP juga merancang penerbitan “Glosari Dialek Perlis” yang dijadualkan diterbitkan pada tahun ini sebagai usaha mendokumentasikan serta memelihara warisan linguistik tempatan.
Selain itu, kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) turut dibincangkan bagi penganjuran Majlis Ingestifat Ilmi peringkat kebangsaan pada September depan, dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
DBP juga berkemungkinan besar akan sekali lagi menyertai Program Ziarah Mahabbah ke Selatan Thailand bersama MAIPs pada tahun ini sebagai usaha memperkukuh jaringan budaya dan keilmuan serantau.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia