TASHKENT, 9 Okt – Hubungan erat antara Perlis dan Wilayah Tashkent, Uzbekistan membuka peluang lebih luas kepada kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan pertanian, termasuk meneroka potensi penanaman kenaf.
Gabenor Wilayah Tashkent, Zoyir Mirzayev berkata, hubungan baik yang terjalin dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menjadi asas penting dalam memperluas kerjasama ekonomi serta pembangunan antara kedua-dua wilayah.
Menurut beliau, sektor pertanian merupakan antara bidang yang berpotensi untuk dibangunkan, khususnya menerusi penerokaan projek penanaman kenaf yang kini mula mendapat perhatian kedua-dua pihak.
Perbincangan mengenai tanaman berkenaan turut membuka kemungkinan untuk memperluas pelaksanaannya di Tashkent berdasarkan potensi pertanian serta perkongsian kepakaran yang dimiliki.
Selain pertanian, sektor pelancongan turut dikenal pasti sebagai bidang strategik yang boleh diperkasakan melalui pertukaran pengalaman, promosi destinasi dan pemanfaatan keunikan tarikan pelancongan kedua-dua wilayah.
Zoyir menyatakan perkara itu ketika menjadi tuan rumah Majlis Santapan Malam bagi meraikan Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Amirsoy Mountain Resort, sebuah pusat peranginan pergunungan bertaraf antarabangsa yang terletak kira-kira 80 kilometer dari pusat bandar Tashkent.
Majlis berkenaan berlangsung sebelum keberangkatan pulang pasangan diraja itu ke tanah air selepas mengadakan lawatan ke Uzbekistan.
Menariknya, pasangan diraja Perlis diraikan di vila yang sama pernah dikunjungi Presiden Belarus, Aleksandr Lukashenko dan Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov. TerokaPulau
Turut berangkat ialah anakanda kedua pasangan diraja berkenaan, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz dan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Pertemuan tersebut mencerminkan kesinambungan hubungan diplomatik dan kerjasama strategik yang semakin berkembang antara Perlis dengan Wilayah Tashkent, khususnya dalam usaha mengenal pasti peluang ekonomi baharu yang memberi manfaat bersama.
Hubungan antara kedua-dua wilayah itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah diperkukuh menerusi lawatan kerja Zoyir ke Perlis pada April 2025.
Ketika lawatan tersebut, beliau menghadap Raja Perlis di Istana Arau dalam pertemuan yang turut dihadiri Raja Muda Perlis.
Zoyir juga mengadakan kunjungan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta menyertai program Kayuhan Amal MAIPs Peduli di kawasan Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Susulan lawatan berkenaan, Zoyir yang diiringi Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomiddin Gadoev, memilih Perlis secara rasmi sebagai rakan kolaborasi utama Wilayah Tashkent di Malaysia.
Perkembangan itu sekali gus meletakkan Perlis pada kedudukan strategik untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan dan pembangunan ekonomi yang berpotensi memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.
Foto: Istana Arau