Pertukaran Pelajar Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

JAKARTA, 17 Sept — Program pertukaran pelajar Malaysia dengan pelajar antarabangsa dilihat mampu menjadi jambatan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara negara, di samping memberi manfaat besar kepada peserta dari aspek akademik dan budaya.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang menimba pengalaman baharu, malah mampu menjadikan pelajar sebagai duta kecil yang mempromosi negara masing-masing di persada antarabangsa.

“Pertukaran pelajar ini amat penting kerana mereka adalah generasi masa depan. Melalui program sebegini, mereka dapat memahami budaya, cara berfikir serta cara hidup rakyat negara lain, sekali gus mengeratkan persefahaman,” katanya ketika ditemui selepas menghadap Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, hari ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP, sempena UniMAP International Leadership Mobility 2025.

1,175 Pelajar Malaysia di Indonesia

Menurut Syed Mohamad Hasrin, sehingga kini seramai 1,175 pelajar Malaysia berdaftar di Indonesia dalam pelbagai bidang termasuk veterinar, pergigian dan pengajian Islam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis terhadap kebajikan rakyat Malaysia di perantauan — bukan sahaja pelajar, tetapi juga diaspora profesional serta komuniti Malaysia yang menetap di republik itu.

Diplomasi Akar Umbi

Selain pertukaran pelajar, beliau berkata lawatan akademik seperti delegasi UniMAP ke Kedutaan Malaysia turut memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai peranan diplomasi dalam menjaga kepentingan negara.

“Semalam kami mengadakan program menaikkan Jalur Gemilang bersama rakyat Malaysia, dan hari ini pula menyambut Hari Malaysia bersama delegasi UniMAP. Ia satu pengalaman unik yang mengukuhkan rasa kebersamaan,” katanya.

Beliau menegaskan, program seumpama ini bukan sekadar menambah nilai akademik, tetapi juga menjadi wadah memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia yang sedia terjalin erat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content