Pesuruhjaya Tinggi Australia Minat Pelaburan Perlis, Pelabuhan Darat Perlis Jadi Tumpuan

Pesuruhjaya Tinggi Australia Minat Pelaburan Perlis, Pelabuhan Darat Perlis Jadi Tumpuan

ARAU, 20 Januari 2026 — Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menzahirkan minat terhadap perancangan pelaburan negeri Perlis, khususnya dalam sektor perindustrian serta pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port, PIP), yang berpotensi dijadikan rujukan kepada syarikat-syarikat Australia untuk meneroka peluang pelaburan di negeri ini.

Menurut beliau, pihak Suruhanjaya Tinggi Australia akan berkongsi maklumat berkaitan potensi ekonomi dan pelaburan Perlis dengan syarikat-syarikat Australia yang berminat, selain menggalakkan mereka untuk hadir meninjau sendiri peluang yang tersedia.

“Kami akan cuba berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat-syarikat yang berminat dan berharap dapat menarik syarikat Australia untuk datang meninjau peluang pelaburan di Perlis,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sebelum sesi mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, malam tadi. Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Danielle Heinecke, yang diiringi Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendall, memaklumkan lawatan tersebut merupakan kunjungan pertamanya ke Perlis dan memberi peluang untuk memahami secara lebih dekat potensi pelaburan negeri ini, khususnya dalam pembangunan sektor perindustrian serta usaha menarik pelaburan baharu.

Selepas sesi mengadap hormat, Pesuruhjaya Tinggi Australia itu dihoskan dalam jamuan santapan malam oleh Tuanku Syed Sirajuddin bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Danielle Heinecke berada di Perlis selama dua hari bermula 19 hingga 20 Januari 2026 sempena lawatan kerja rasmi ke negeri ini. Lawatan berkenaan merangkumi sesi Taklimat Pembangunan Negeri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, mengiringi Tuanku Raja Muda dalam program Kayuhan MAIPs Peduli, lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, penyampaian ucaptama Ambassador Talk Series bertajuk “Strengthening Australian and Malaysian Ties Through Education” di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sesi bersama alumni pelajar Australia di Perlis, serta perbincangan kerjasama dengan Naib Canselor, Rektor dan kepimpinan tertinggi institusi pengajian tinggi yang beroperasi di negeri ini sebelum beliau berlepas pulang ke Australia.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.