2Ogos 2025 | Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa inisiatif Perlis Online Tuition (POT2025) bukan sekadar program tambahan, malah menjadi strategi penting dalam mempertingkat kecemerlangan pelajar dan pencapaian sekolah di negeri ini.
Baginda bertitah, pendekatan POT2025 yang melibatkan rakaman pengajaran berkualiti tinggi, siaran langsung menerusi YouTube, serta interaksi dua hala melalui Google Meet berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan fleksibel.
“Saya berharap agar Perlis Online Tuition ini terus menjadi kebanggaan negeri Perlis dan mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berjiwa besar dan memiliki nilai karamah insaniah yang tinggi,” titah baginda ketika merasmikan POT2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jalan Padang Behor, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, disambut Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan beberapa tokoh pendidikan serta wakil penaja.
Program POT2025 telah bermula sejak 24 April dan akan berakhir pada 5 September ini. Sehingga 1 Ogos, sebanyak 75 sesi pengajaran telah disiarkan, dengan jumlah tontonan mencecah hampir 20,000 tontonan.
Menurut Rose Aza, pengajaran secara langsung pada waktu malam memberi peluang pelajar berinteraksi terus dengan guru dan mendapat bimbingan lebih berfokus. Malah, beberapa sekolah turut menganjurkan tontonan berkumpulan sebagai sokongan tambahan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM10,000 oleh Smart Aider Sdn. Bhd. kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, serta sumbangan peralatan robotik kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.