PPKL Juara ‘Bola Raya 2026’, Tewaskan Veteran Perlis 3-2 di Stadium Tuanku Syed Putra

PPKL Juara ‘Bola Raya 2026’, Tewaskan Veteran Perlis 3 2 di Stadium Tuanku Syed Putra

KANGAR, 25 Mac 2026 — Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) muncul juara perlawanan bolasepak ‘Bola Raya 2026’ selepas menewaskan pasukan Pilihan Veteran Perlis dengan keputusan 3-2 dalam aksi sengit di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini.

Gol kemenangan PPKL dijaringkan oleh Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Wan Khairul Fitri Kamarudin serta Muhammad Hazwan Rahman.

Pasukan Pilihan Veteran Perlis yang ketinggalan tiga gol bangkit memberi saingan apabila Firdaus Mansor dan Megat Tarmizi Hamdan berjaya menjaringkan gol, namun tidak cukup untuk mengatasi kelebihan PPKL.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan sepak mula perlawanan sebelum turut menyaksikan aksi penuh semangat itu serta menyampaikan hadiah kepada para pemain.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang DiPertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman dalam sembah maklum kepada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda memaklumkan bahawa PPKL akan menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M pada Ahad, 12 April 2026 dari jam 10 pagi hingga 1 petang di The Gabion Garden Hall, Setapak, Kuala Lumpur.

Beliau turut menjemput semua ahli PPKL serta keluarga untuk hadir memeriahkan majlis tersebut, di samping mengukuhkan silaturahim komuniti anak Perlis di ibu negara.

Menurut beliau, PPKL sentiasa komited dalam memperkukuh jaringan komuniti anak-anak Perlis di Kuala Lumpur dan amat mengalu-alukan penyertaan ahli baharu bagi memperluas peranan persatuan.

Mengulas lanjut mengenai ‘Bola Raya’, beliau berkata acara itu telah dianjurkan sejak lebih tiga dekad lalu hasil cetusan idea Tuanku Raja Muda Perlis sendiri ketika Baginda berkhidmat di ibu negara dan memegang portfolio Belia dan Sukan dalam PPKL.

Katanya, program tersebut bukan sekadar perlawanan sukan, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh ukhuwah serta menyatukan anak-anak Perlis di perantauan.
Perlawanan itu turut menjadi ruang berkongsi pengalaman, mencipta kenangan manis serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.

Kehadiran dan penyertaan para pemain jelas membuktikan bahawa semangat PPKL terus kekal kukuh dan berkembang, sekali gus menjadikan acara tersebut sebagai inspirasi untuk terus aktif dalam sukan dan program kemasyarakatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.