Oleh: Sholina Osman
19 NOV. 2025
Program wacana ilmu, ‘Seeds of Knowledge Vol. 2’ kini kembali dengan pengisian lebih mantap dan holistik.
Kenyataan media Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan program
ini disambung lagi selepas kejayaan pada edisi pertamanya.
“Seed of Knowledge ‘ adalah program berkala dicetuskan idea oleh Anakanda Raja Muda Perlis, Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Program yang dijadualkan berlangsung selepas Jumaat ini bermula pukul 2.15 petang bakal menjadi medan pertemuan intelektual dan inspirasi bagi masyarakat negeri Perlis.
TIGA FIGURA HEBAT
Edisi kali ini lebih istimewa adalah gabungan unik tiga figura hebat dari latar belakang berbeza, keusahawanan, psikologi motivasi kekeluargaan, dan dakwah kontemporari yang disatukan di atas satu pentas.
‘Seed of Knowledge Vol 2’ bakal diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang akan berkenaan menyertai sesi perkongsian ilmu.
Kehadiran baginda berdua bukan sahaja menzahirkan sokongan terhadap budaya ilmu, malah, menyuntik semangat kepada para peserta yang hadir.
Penganjur program terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs) bersama Tim SK dan NGO Suara Sunnah.
TIGA SLOT UTAMA
Program ini terbahagi kepada tiga slot utama yang saling melengkapi iaitu perkongsian bertajuk “Kekuatan dalam Kehidupan” oleh Hafiza Abd Hamid, atau lebih dikenali sebagai Pija Minaz, disusuli motivasi kekeluargaan oleh Aiman Azlan, seorang kaunselor berdaftar dan penulis buku motivasi yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial bertajuk “Menghidupkan Kebaikan Dalam Rumah Tangga”.
Kemuncak pengisian ilmu akan disampaikah oleh pendakwah selebriti antarabangsa dan penulis buku terlaris, Ustaz Mizi Wahid yang akan mengupas topik yang sangat dekat di hati masyarakat moden iaitu “How to Keep Your Faith Amidst Setbacks, Loss, & Heartbreak”.
Selain menimba ilmu, program ini juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim sesama komuniti melalui sesi ramah mesra sepanjang program.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ilmu ini yang bukan sahaja sarat dengan informasi, tetapi juga menawarkan “baja” untuk menyuburkan jiwa dan minda, bertepatan dengan namanya, Seeds of Knowledge. – JM