Projek Zakat MAIPs Terima Pengiktirafan Antarabangsa di Nairobi

Nairobi, Kenya – Projek “MAIPs Ndengu Revolution” oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima pengiktirafan rasmi daripada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (International Federation of Red Cross – IFRC) atas sumbangannya yang bersifat transformatif terhadap kehidupan komuniti rentan pascakemarau di wilayah Kitui, Kenya.

Inisiatif ini merupakan usaha pemulihan komuniti jangka sederhana dan panjang yang melibatkan bantuan benih tanaman kekacang ndengu, input pertanian, sokongan sara hidup serta penguatan kapasiti komuniti setempat.

“Malaysia menerusi MAIPs telah membuktikan bahawa instrumen zakat boleh berkembang pada peringkat antarabangsa dan menjadi pemacu kepada usaha pemulihan dan ketahanan komuniti dalam konteks bencana dan kemiskinan berpanjangan,” ujar Pengarah Serantau IFRC bagi Benua Afrika, Charles Mbeeta Businge.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program Safar Ilmi MAIPs 2025 yang berlangsung di Nairobi, baru-baru ini.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, TYT Ruzaimi Mohamad, Sahibus Samahah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Businge lagi, projek yang bermula sejak 2018 itu merupakan contoh terbaik filantropi Islam dapat disepadukan dalam agenda kemanusiaan global dengan penuh profesionalisme dan integriti.

Usaha MAIPs itu turut direkodkan dalam beberapa laporan dan jurnal antarabangsa terbitan IFRC, seperti “The Transformative Power of International Zakat” dan “Your Duty for Their Dignity“, yang kini menjadi rujukan dalam wacana filantropi Islam global.

Pegawai Kanan IFRC bagi Kewangan Inovatif, Filantropi Islam dan Sektor Swasta, Ramya Gopalan, menyatakan bahawa MAIPs memainkan peranan penting untuk memperluas kefahaman terhadap zakat sebagai instrumen pembangunan global yang responsif.

Katanya, MAIPs turut terlibat dalam penubuhan Kumpulan Penasihat Filantropi Islam di bawah IFRC yang berfungsi merangka panduan dasar dan garis sokongan bagi pelaksanaan bantuan kemanusiaan berteraskan prinsip Islam.

Dalam sesi yang sama, pihak IFRC turut menyampaikan penghargaan terhadap peranan MAIPs dalam Projek Kenya Drought 2018 yang menjadi pemula kepada inisiatif jangka panjang Ndengu Revolution.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content