Pupuk Nilai Murni bagi Melahirkan Individu Bersahsiah Unggul – Pemangku Raja Perlis

Kangar – “Pemupukan nilai murni merupakan elemen yang sangat penting dan perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan individu yang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.”

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma bagi sesi akademik 2024/2025 di Jalan Penjara, Pusat Bandar Kangar, pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengetua SMK Derma, Encik Haliah Othman dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Ariffin.

Menurut baginda, nilai murni juga mampu membantu pelajar untuk mengadaptasi dan menghadapi sebarang cabaran ataupun rintangan untuk berjaya dalam pelbagai aspek.

Baginda menyeru agar para pelajar melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran interpersonal untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik secara individu mahupun berkumpulan bagi membolehkan pelajar untuk bertukar idea dan pemikiran antara satu sama lain, melahirkan pelajar yang mahir berunding bagi mencapai satu persetujuan bersama dan berupaya menangani sebarang konflik dengan baik.

Baginda turut bertitah,

“Dalam mencapai hasrat sekolah ini, para pelajar mestilah mendahului adab dan berdisiplin dalam mendalami serta menguasai ilmu pengetahuan, terutamanya adab terhadap guru perlu diberikan keutamaan kerana kunci utama keberkatan ilmu ialah menghormati dan memuliakan guru.”

Sementara itu, Encik Haliah Othman dalam ucapannya berkata, pelbagai pencapaian telah diperoleh pada tahun 2023 dalam bidang kurikulum dan kokurikulum oleh SMK Derma dengan mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 2.11 berbanding pada tahun 2022 dengan nilainya sebanyak 2.48 dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Ujar beliau, peningkatan GPS tersebut diterima daripada 17 orang pelajar yang telah mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Kelly Chien Xin Yee merupakan calon SPM terbaik negeri Perlis telah berjaya memperoleh 10 A+ dan 1A, sekali gus menjadikan SMK Derma sebagai sekolah terbaik SPM di negeri ini.”

Tambah beliau, bagi pencapaian dalam kokurikulum pula, Nur Qaireen Umairah Norazlizal dari Tingkatan Dua Mulia telah mengharumkan nama sekolah ini, negeri Perlis dan Malaysia di persada antarabangsa menerusi sukan memanah apabila berjaya meraih semua pingat emas yang dipertandingkan bagi kategori bawah 15 tahun di 7th Kartini International Archery Championship di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Ujar beliau, “Sebagai pengetua, saya akan sentiasa memastikan hala tuju sekolah ini selari dengan dasar kementerian untuk melahirkan modal insan yang berwibawa dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.”

Pada masa yang sama, DYMM Pemangku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan perasmian Hari Anugerah Cemerlang SMK Derma dan pengurniaan anugerah kepada 25 orang penerima bagi Anugerah Ketua Pengawas, Anugerah Timbalan Ketua Pengawas, Anugerah Pelajar Semua A SPM, Anugerah Pelajar Terbaik SPM Peringat Sekolah dan Negeri Perlis.

Anugerah lain yang dikurniakan termasuklah Anugerah Pelajar Digitalisasi, Anugerah Pelajar Tokoh Sahsiah Murid, Anugerah Tunas Kokurikulum dan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.

DYMM Pemangku Raja Perlis turut menzahirkan agar SMK Derma dan seluruh sekolah di negeri ini terus melahirkan para pelajar yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum serta melahirkan rakyat Perlis yang benar-benar hebat dan bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content