KUALA LUMPUR: Pusat Islam Windhoek menamakan madrasahnya sebagai “Faizuddin Academy for Ilm and Dzikr” sebagai penghormatan kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Ia merupakan hasil usaha Kuasa Usaha Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda dalam bentuk barangan dan kewangan kepada Pusat Islam Windhoek yang menguruskan hal ehwal komuniti Muslim di Namibia.
Rameez dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, sumbangan baginda selama dua tahun itu termasuklah penyediaan dapur rakyat untuk golongan memerlukan selepas solat Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pemangku Raja Perlis, melalui Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) akan menawarkan biasiswa kepada pelajar Muslim Namibia untuk melanjutkan pengajian tinggi di Perlis, Malaysia bermula September ini.
Setakat ini, empat pelajar Namibia telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian Islam peringkat tinggi di UniSIRAJ, katanya.
Pada majlis itu, pihak pengurusan Pusat Islam Windhoek turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Malaysia – sebuah negara bukan Arab dan bukan Afrika – atas bantuannya sejak Islam mula bertapak di Namibia menerusi kumpulan pertama saudara baharu pada 1979.
Rameez berharap madrasah itu akan menjadi titik permulaan kepada penyebaran ajaran Islam bagi membantu masyarakat Namibia memahami peranan Islam dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu, aman dan harmoni.
— BERNAMA