Raja Muda Lancar Buku Perlis: Pantun dan Panorama di UniMAP

77066

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran buku Perlis: Pantun dan Panorama yang berlangsung di Dewan Bankuet Aras 4, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, baru-baru ini.

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Pro Canselor UniMAP, serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Pro Canselor II, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Buku Perlis: Pantun dan Panorama merupakan kolaborasi istimewa antara Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dan penggiat fotografi Jasni Hashim, yang menggabungkan keindahan visual bumi Perlis dengan pantun sarat nilai budaya dan makna.

Karya ini mengangkat kehalusan negeri Perlis melalui himpunan pantun klasik yang mencerminkan warisan dan kearifan tempatan, disempurnakan dengan panorama memukau yang dirakam dengan penuh seni, kepekaan dan ketelitian. Setiap rangkap pantun membawa pembaca menelusuri roh dan identiti Perlis, manakala setiap foto menjadi tafsiran visual yang menghidupkan bait-bait tersebut.

Lebih daripada sekadar koleksi pantun bergambar, buku ini berfungsi sebagai jambatan menghubungkan pembaca dengan pesona alam, tradisi dan jiwa masyarakat Perlis. Ia sesuai dijadikan bahan bacaan santai, koleksi peribadi atau hadiah istimewa untuk mereka yang ingin menyelami keindahan budaya negeri ini.

Naskhah berharga ini menghimpunkan lebih 100 foto karya Jasni Hashim yang dipadankan dengan pantun nukilan Sasterawan Negara, merangkumi tema keagungan Ilahi, keindahan Perlis, nilai insani, pedoman hidup, kisah rakyat dan warisan budaya. Setiap helaian mengangkat Perlis sebagai negeri yang kaya seni visual dan sastera, selaras dengan usaha mempromosikan Perlis melalui medium kreatif dan berdaya tarik.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.