Raja Muda Perlis Berangkat Hadiri Majlis Santapan Malam Bersama Delegasi PISC 2026

80045

KANGAR, 30 Januari 2026 – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersama Delegasi Perlis International Sunnah Convention 2026 (PISC 2026) yang berlangsung di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

PISC 2026 menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan dan pendakwah antarabangsa terkemuka antaranya Sheikh Datuk Hussain Yee, Sheikh Abdul Raheem Green, Sheikh Assim Al-Hakeem, Sheikh Abdul Raheem McCarthy, Sheikh Abu Usamah Al-Thahabi, Sheikh Farhan Rafee, Sheikh Dr. Zakir Naik, Sheikh Dr. Muhammad Salah, Sheikh Haitham Al-Haddad serta Syeikh Mohammad al-Naqwi.

Perlis International Sunnah Convention 2026 merupakan sebuah konvensyen ilmiah bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan para ilmuwan, pendakwah serta pencinta ilmu bagi membincangkan kefahaman Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Konvensyen berprestij ini merupakan acara tahunan anjuran Negeri Perlis dan sebahagian daripada kalendar rasmi Tahun Melawat Perlis 2024–2026, sekali gus memperkukuh peranan negeri ini sebagai pusat pengembangan ilmu Islam.

PISC 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2026 bertempat di Dewan 2020, Kangar.

Sepanjang penganjurannya, pelbagai pengisian berimpak tinggi ditampilkan merangkumi syarahan dan pembentangan ilmiah oleh ulama tempatan dan antarabangsa, forum serta wacana isu semasa umat Islam, sesi interaksi bersama para ilmuwan, selain menjadi platform pengukuhan kefahaman Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Konvensyen ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan sokongan utama MAIPs serta kerjasama strategik pelbagai agensi, institusi akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Penganjuran PISC 2026 bukan sahaja berperanan sebagai medan penyebaran dakwah dan ilmu, malah turut mengangkat Perlis sebagai hab ilmu Islam serta destinasi pelancongan berteraskan ilmu dan kerohanian di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.