KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Ibu Pejabat Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), keberangkatan baginda turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Ahli Jawatankuasa Kewangan dan Pengukuhan MAIPs, Haji Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.
Ketibaan Tuanku Raja Muda disambut mesra oleh Pengerusi Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia, Datuk Syed Hood bin Edros Al-Aydrus bersama barisan kepimpinan pertubuhan tersebut.
Dalam lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menerima taklimat mengenai fungsi, peranan serta aspirasi Rabithah sebagai sebuah pertubuhan yang mendukung pengukuhan jati diri keturunan Alawiyin, di samping memartabatkan warisan keilmuan Islam dalam konteks masyarakat moden.
Sesi berkenaan turut menyaksikan perbincangan awal mengenai potensi kerjasama strategik antara MAIPs dan Rabithah, khususnya dalam pelaksanaan program pembangunan ilmu, pendidikan Islam, kebajikan serta pemerkasaan institusi-institusi warisan keagamaan.
Tuanku Raja Muda dalam titahnya menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan Rabithah memainkan peranan sebagai jambatan ilmu dan warisan antara generasi, serta mengalu-alukan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dalam ruang lingkup yang memberi manfaat kepada ummah sejagat.
Lawatan tersebut sekali gus memperkukuhkan hubungan antara institusi Islam dalam negara dan membuka ruang sinergi positif antara MAIPs dengan pertubuhan bukan kerajaan berteraskan nilai agama dan kemasyarakatan.