10 APRIL 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran buku “My 30 Years in Malaysia” hasil karya Datuk Keith Li, yang mengangkat perjalanan tiga dekad beliau serta sumbangan signifikan dalam memperkukuh hubungan Malaysia–China.
Buku ini turut memuatkan Titah Perutusan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang menyifatkannya sebagai sebuah kisah nyata yang menggambarkan peranan individu sebagai jambatan penghubung antara negara dan budaya, di samping menekankan kepentingan hubungan antara rakyat dalam memperkukuh kerjasama dua hala.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Kaunselor Menteri merangkap Konsul Jeneral Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Wang Jiarong serta lebih 100 wakil komuniti perniagaan dan media, termasuk Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Majlis ini turut menandakan ulang tahun ke-10 Persatuan Usahawan China Di Malaysia (PUCM), yang diasaskan dan dipimpin oleh Li.
TURUT MENDAPAT PENGIKTIRAFAN
Pencapaian persatuan tersebut turut mendapat pengiktirafan menerusi ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang memuji peranannya dalam memperkukuh perdagangan dua hala serta hubungan antara rakyat.
Dalam ucapannya, Li menyifatkan buku tersebut didedikasikan khas buat ibunya yang telah meninggal dunia lima bulan lalu.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku Raja Muda Perlis atas lebih dua dekad bimbingan dan sokongan berterusan, selain kepada Kedutaan China serta rakan-rakan profesionalnya.
Memoir itu menelusuri perjalanan Li sejak tiba di Malaysia secara bersendirian tiga dekad lalu, sebelum bangkit sebagai antara tokoh penting dalam komuniti perniagaan tempatan. Ia turut menggariskan pandangan serta pengalaman berharga sebagai panduan kepada usahawan China dalam menyesuaikan diri dengan landskap masyarakat majmuk Malaysia.
MERUPAKAN ASAS KUKUH
Menurut Li, pertukaran budaya yang lebih mendalam serta kerjasama yang berteraskan keikhlasan merupakan asas kukuh kepada kestabilan dan pembangunan jangka panjang hubungan dua hala.
Dalam bahagian pembuka dan penutup buku, beliau mengimbas detik ketibaannya di Malaysia pada 27 Julai 1996, berdepan cabaran bahasa dan perbezaan budaya sebelum akhirnya berjaya membina kedudukan dalam dunia perniagaan tempatan.
Perjalanan itu turut mencerminkan transformasinya daripada seorang “orang asing” kepada individu yang memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara komuniti Malaysia dan China, hasil ketekunan serta kefahaman lintas budaya.
DALAM BIDANG INOVASI
Melangkah ke hadapan, Li menyuarakan harapan agar Malaysia dan China terus memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi, pembangunan ekonomi serta pertukaran budaya, demi membina hubungan yang lebih erat, progresif dan saling menguntungkan.
Beliau turut menegaskan bahawa visi besar tersebut menuntut komitmen bersama pelbagai pihak, dan beliau bersama keluarga beriltizam untuk terus berperanan sebagai jambatan penghubung antara generasi dalam memupuk kerjasama, memartabatkan budaya serta menghubungkan masyarakat.
Sebagai pengasas dan Presiden PUCM, Li kini merupakan satu-satunya pemimpin persatuan kebangsaan China di Malaysia yang dilantik menganggotai China Overseas Friendship Association. Beliau juga merupakan profesor pelawat di Jiangsu Ocean University serta memegang beberapa jawatan dalam Jiangsu Overseas Friendship Association, selain mengasaskan platform berita tiga bahasa Malaysia-China Insight.
Sementara itu, selaras dengan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat, majlis berkenaan turut menyaksikan penganjuran jualan amal yang berjaya mengumpul sebanyak RM30,000 dan disalurkan kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. – SUMBER : BERNAMA
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia