KIGALI, RWANDA, 24 Julai 2025 – Sempena program Safar Ilmi MAIPs 2025, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau beberapa fasiliti ikonik di Kigali termasuk Stadium Amahoro, BK Arena, dan Kigali Convention Centre (KCC).
Baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera, Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan diraja disambut oleh Sadate David Munyakazi, usahawan dan bekas Presiden Kelab Bola Sepak Rayon Sports, serta John Ntigengwa, Pengurus Wilayah Qavenue Rwanda.
Stadium Amahoro, yang terletak di daerah Gasabo, merupakan mercu tanda sukan Rwanda. Stadium ini telah melalui penaiktarafan bernilai lebih USD165 juta, dan kini memenuhi piawaian FIFA dan CAF sebagai venue antarabangsa. Selain fungsi sukan, ia turut memacu pelancongan dan pembangunan komuniti.
BK Arena pula merupakan arena tertutup terbesar di Afrika Timur, dengan kapasiti 10,000 penonton dan kemudahan bertaraf dunia. Ia menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan dan hiburan termasuk Basketball Africa League, AfroBasket, dan Kongres FIFA.
Kigali Convention Centre: Hab Diplomasi dan Ekonomi Afrika
Lawatan diteruskan ke Kigali Convention Centre (KCC), pusat konvensyen moden yang menjadi simbol kemajuan Rwanda. Sejak pembukaannya pada 2016, KCC menjadi lokasi strategik pelbagai acara antarabangsa seperti:
CHOGM (Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel)
Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika
Forum teknologi, kesihatan dan perubahan iklim
Dengan reka bentuk bersepadu, teknologi pintar, serta kelestarian alam sekitar sebagai prinsip teras, KCC kini diletakkan sebagai pusat MICE terkemuka di benua Afrika.
Inspirasi Perlis: MAIPs dan UniSIRAJ
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan dan inspirasi pembangunan bagi dua projek strategik di Perlis:
Kompleks Baharu MAIPs di Jalan Pegawai, Kangar — dijadual mula beroperasi sepenuhnya tahun hadapan.
Kompleks sukan terbuka dan tertutup — dalam rangka pelan induk pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Tuanku Raja Muda menzahirkan minat terhadap model Rwanda yang mengintegrasikan aspek fizikal, teknologi dan komuniti dalam pembangunan fasiliti awam.
Kunjungan ini mencerminkan kesungguhan Perlis untuk menimba pengalaman antarabangsa dalam usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur berimpak tinggi, sambil menyokong aspirasi pendidikan, pembangunan sukan dan jaringan diplomasi serantau.
(Foto: Ihsan MAIPs)
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia