Raja Muda Perlis Mahu Tembikar Kechor Diangkat Sebagai Warisan Pelancongan

5Ogos 2025 | Kuala Perlis — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyuarakan harapan agar industri tembikar tradisional ‘Tembikar Kechor Perlis’ dapat dihidupkan semula sebagai satu produk warisan yang berpotensi menjadi barangan jualan dan cenderamata pelancongan negeri.

Baginda bertitah demikian sempena keberangkatan ke Festival Kraf Utara (FKU) 2025, yang berlangsung selama 12 hari bermula 24 Julai lalu di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Batu 5, Jalan Kuala Perlis.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Berangkat sama dalam acara tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff serta Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli.

Menurut dokumentasi terbitan Kraftangan Malaysia bertajuk Tembikar Tradisional Malaysia (2005), perusahaan Tembikar Kechor dipercayai bermula sekitar tahun 1820 di Kampung Kechor oleh pasangan Tok E Chu dan Tok Tinggi yang berasal dari Setul, selatan Thailand. Kegiatan ini kemudian diwarisi oleh anak mereka Tok E Long dan menantu Tok Timah, lalu diajarkan kepada penduduk kampung hingga berkembang menjadi pekerjaan sampingan utama selain bertani.

Faktor tanah liat berkualiti tinggi yang mudah didapati dari tebing sungai menjadi pemangkin kepada kejayaan perusahaan ini.

Pada festival berkenaan, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyaksikan demonstrasi pembuatan Tembikar Kechor dan mencuba sendiri teknik pembuatannya, menzahirkan sokongan baginda terhadap usaha memartabatkan kembali seni kraf tradisional negeri.

Lebih 70 usahawan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak mengambil bahagian dalam FKU 2025 yang mengetengahkan hasil kraf tempatan merangkumi tekstil, hasil rimba, logam, tanah liat dan tenunan tradisional.

Antara tarikan utama festival ialah demonstrasi langsung seperti mencanting batik, anyaman, ukiran kayu dan tenunan, selain bengkel interaktif yang membolehkan pengunjung mencuba sendiri teknik penghasilan kraf.

Festival ini berperanan penting dalam memupuk kecintaan terhadap budaya, memperkukuh identiti nasional dan mengangkat martabat industri kraf tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content