Raja Muda Perlis Pelawa Gano Excel Teroka Pelaburan di Perlis

Raja Muda Perlis Pelawa Gano Excel Teroka Pelaburan di Perlis1

HOSBA, Kedah, 4 Januari 2026 — Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan pelawaan agar Gano Excel Industries Sdn. Bhd., peneraju industri berasaskan Ganoderma lucidum (Lingzhi/Reishi), meneroka potensi pengembangan perniagaan dan pelaburan masa hadapan di Negeri Perlis.

Pelawaan itu dizahirkan ketika Baginda berkenan menerima undangan mengadakan lawatan rasmi ke ladang Gano Excel di Kampung Cherok Mokkan, Mukim Hosba, Kedah, hari ini.

Sebagai sebuah syarikat tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Gano Excel terlibat secara menyeluruh dalam penanaman dan pengeluaran Ganoderma, serta mengendalikan ladang organik Ganoderma terbesar di dunia berasaskan konsep ladang model berteknologi tinggi dan pengurusan mampan.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis disambut oleh Pengasas dan Presiden Gano Excel International, Leow Soon Seng, bersama Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif, Leow Soon Kiak.

Dalam taklimat yang dipersembahkan kepada Baginda, Leow Soon Seng memaklumkan bahawa operasi syarikat tersebut merangkumi lebih 100 rumah hijau khas, masing-masing berkapasiti sehingga 30,000 bongkah tanaman, bagi memastikan pengeluaran berskala besar dan konsisten untuk pasaran global.

Menurut beliau, setiap rumah hijau dilengkapi sistem kawalan mikroiklim berteknologi tinggi bagi menjamin pertumbuhan Ganoderma yang seragam, bersih dan berkualiti tinggi.

Tambahnya, semua tanaman diusahakan sepenuhnya menggunakan media organik tanpa bahan kimia melalui proses pensterilan suhu tinggi, manakala penuaian dilakukan secara manual pada tahap kematangan optimum. Bongkah tanaman terpakai pula dikitar semula sebagai baja organik, selari dengan prinsip kelestarian alam sekitar.

Dalam lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melawat fasiliti pemprosesan syarikat, termasuk makmal kawalan kualiti, mikrobiologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta analisis kimia, yang berfungsi memastikan setiap produk diuji dan dipantau secara saintifik sebelum dipasarkan.

Sebagai peneraju dalam industri imunologi pemakanan berasaskan Ganoderma, Gano Excel memiliki prasarana bertaraf antarabangsa yang mematuhi piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), selain diperakui di bawah Skim Organik Malaysia (myOrganic).

Syarikat itu juga menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk pemeriksaan oleh Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap tahap keselamatan, kualiti dan ketulenan produk sebelum dipasarkan ke peringkat global.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.