Raja Muda Perlis: Pemantapan Bidang Kuasa Jenayah Syariah Perlu Dikaji Secara Menyeluruh

Raja Muda Perlis Pemantapan Bidang Kuasa Jenayah Syariah Perlu Dikaji Secara Menyeluruh

KANGAR, 16 Januari 2026 — Mahkamah Syariah perlu sentiasa peka terhadap bidang kuasa sedia ada, khususnya dalam aspek jenayah syariah, bagi memastikan kuasa kehakiman dapat dilaksanakan dengan lebih kemas, berkesan dan berwibawa.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar, hari ini.

Baginda bertitah, pemantapan bidang kuasa jenayah syariah merupakan satu keperluan penting dalam usaha memperkukuhkan peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan yang berwibawa serta relevan dengan keperluan semasa dan perkembangan sistem perundangan negara.

Menurut baginda, takat kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Perlembagaan Persekutuan wajar dikaji dan diteliti dari semasa ke semasa agar pelaksanaannya dapat dimaksimumkan tanpa melangkaui kerangka perlembagaan yang telah ditetapkan.

Dalam konteks tersebut, baginda turut menegaskan bahawa perkara berkaitan prosedur jenayah, termasuk isu bidang kuasa tahanan reman (remand detention) oleh Mahkamah Syariah, perlu diberikan perhatian serius dan dibuat kajian menyeluruh bagi meneliti sama ada terdapat ruang serta keperluan untuk ia dilaksanakan dalam sistem kehakiman syariah pada masa kini.

Mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad.

Sementara itu, Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan bukan sekadar sebuah aktiviti riadah, malah telah berkembang sebagai satu jenama ikonik di Negeri Perlis yang menggabungkan elemen sukan, dakwah dan kebajikan melalui pendekatan menyeluruh mendekati masyarakat.

Berbeza dengan kaedah penyampaian bantuan secara konvensional yang lazimnya memerlukan pemohon hadir ke pejabat, program ini mengetengahkan pendekatan turun padang dengan membawa MAIPs bersama ketua-ketua agensi serta jabatan di peringkat negeri dan Persekutuan mengunjungi sendiri kediaman rakyat.

Pendekatan tersebut membolehkan pihak terlibat menyelami realiti kehidupan golongan asnaf dan mereka yang kurang bernasib baik dengan lebih dekat, menyeluruh serta berkesan.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Ku Maznah Ku Mat, 67, dari Kampung Titi Tok Bandar; Ahmad Suhaimi Husin, 67, dari Kampung Hutan Melintang; serta Talib Ali, 74, dari Kampung Panggau.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.