21 Julai 2025 | Kuala Lumpur. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan forum kesihatan mental bertajuk “Joyful Journeys: Empowering Minds and Celebrating Life” Siri Pertama yang berlangsung di South Ballroom 1, Courtyard by Marriott Kuala Lumpur.
Ketibaan Baginda berdua disambut oleh Pengasas NF Growth Minds Development, Nik Fazirudean Ibrahim Datuk Khairi.
Forum anjuran NF Growth Minds Development ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Penyokong Pesakit Melankolia (KLMePSA) dan ShowCase Events & Talent Management. Ia merupakan inisiatif berimpak tinggi yang mengetengahkan isu kesihatan mental melalui pendekatan holistik yang menggabungkan ilmu, kesedaran dan ekspresi seni sebagai medium memperkasa minda serta meraikan kehidupan.
Antara slot utama forum ialah sesi bertajuk “Calm Your Mind, Calm Your Heart & Soul” yang disampaikan oleh pakar mindfulness terkenal, Shereena Gill, yang membawa hadirin menelusuri teknik penyembuhan dan ketenangan jiwa secara mendalam dan menyentuh emosi.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menerima sembah taklimat dan pengenalan kepada para penaja utama yang menjayakan forum ini. Antara yang diperkenalkan ialah Datuk Rudi Rodzilla, Peter Chaw (mewakili Unlocking Possibilities Build New Heights – UPBH), serta PERCON Corporation Sdn. Bhd.
Forum Joyful Journeys bertujuan memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental secara lebih terbuka, inklusif dan menyeluruh, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan jiwa dan pembangunan holistik insan.