Oktober 2025 | Kuala Lumpur
Pestec International Berhad mencipta satu lagi detik bersejarah apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Wisma Masyhur 2 di Jalan Semantan, Kuala Lumpur, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan disambut oleh Pengerusi Pestec International Berhad, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri (Dr.) Subramaniam Pillai A/L Sankaran Pillai, serta Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain Maricar, bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat.
Turut berangkat sama ialah Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Puteri Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Wisma Masyhur 2: Simbol Kemajuan dan Visi Masa Depan
Dalam ucapan aluannya, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki menegaskan bahawa penubuhan Wisma Masyhur 2 bukan sekadar pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya melambangkan kesinambungan, kemajuan dan aspirasi baharu Pestec.
“Bangunan ini bukan sekadar struktur konkrit, tetapi lambang evolusi daripada bangunan korporat lama kepada sebuah pusat operasi moden. Ia mencerminkan bagaimana kita menghargai warisan sambil memperkukuh visi ke hadapan. Di sinilah aspirasi masa depan Pestec akan dipupuk dan dijelmakan,” ujar beliau.
Menjana Sinergi Industri Tenaga Nasional
Wisma Masyhur 2 turut memperkukuh jaringan kolaborasi strategik antara syarikat-syarikat dalam ekosistem tenaga dan infrastruktur negara — termasuk Dhaya Maju dalam bidang rel dan mobiliti, Citaglobal dalam tenaga baharu, serta Pestec dalam sistem tenaga.
Gabungan kepakaran ini membentuk rangkaian sinergi kukuh yang menyokong visi nasional menjelang Tahun 2030, khususnya dalam mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi tenaga bersih, lestari dan berdaya tahan.
Peneraju Tenaga untuk Malaysia dan ASEAN
Sebagai peneraju dalam sektor tenaga, Pestec terus komited memperkukuh sistem tenaga negara melalui pembangunan rangkaian transmisi dan distribusi elektrik menyeluruh, elektrifikasi pengangkutan awam termasuk rel, serta penerapan teknologi pintar dan kawalan tenaga efisien.
Dengan pengalaman luas di Malaysia, Pestec kini melangkah lebih jauh ke pasaran ASEAN, mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai penyedia penyelesaian tenaga berwibawa dan boleh dipercayai di rantau ini.
Selaras Aspirasi RMK13 dan Agenda Malaysia Hijau
Selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan kelestarian, inklusiviti dan transformasi digital, Pestec beriltizam untuk memastikan keperluan tenaga negara terus dipenuhi secara mampan, inklusif dan berpaksikan teknologi tinggi, sejajar dengan dasar pembangunan kerajaan serta aspirasi Malaysia menuju masa depan hijau dan progresif.