KANGAR, 3 Mac 2026 – Masyarakat Tionghoa di Kangar menzahirkan rasa bangga dan terharu atas keprihatinan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang berkenan berangkat menyantuni mereka sempena Majlis Sambutan Chap Goh Meh DUN Indera Kayangan 2026 di Pekarangan Parkir Ten Ten, di sini.
Keberangkatan baginda berdua ke Jalan Jublee Perak itu jelas mencerminkan hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, berkata penganjuran sambutan tersebut bukan sekadar acara perayaan, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan yang utuh antara institusi diraja, kepimpinan negeri, agensi kerajaan serta rakyat Perlis.
Menurut beliau, kehadiran Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis memberi makna besar kepada masyarakat setempat yang amat menghargai perhatian dan sokongan berterusan daripada pihak istana.Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim, serta Tan Heng Teong.
Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Chenshi Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Perlis itu bertujuan menyemarakkan sambutan Chap Goh Meh di samping memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Gan turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri Perlis yang sentiasa menampilkan semangat muafakat serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
“Inilah wajah sebenar Perlis, sebuah negeri yang harmoni dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkasakan bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berkesan.
Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan menggaul “Lao Shang”, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik antaranya persembahan pancaragam, tarian bunga klasik tradisional Cina, persembahan Chenshi Taichi, serta persembahan gendang Ethereal.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan harmoni itu jelas mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk di negeri Perlis, selaras dengan aspirasi untuk terus memupuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia