2 November 2025.
Arau.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni seorang usahawan wanita gigih, Nor Shakila Don, 43 tahun, yang merupakan peserta Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di premis usahanya bertempat di No. 80, Belakang Sekolah Kebangsaan Kampung Serdang, Arau baru-baru ini.
Nor Shakila merupakan contoh inspirasi kepada golongan asnaf yang berjaya mengubah kehidupan melalui bidang keusahawanan pembuatan kek dan biskut raya.
Beliau memulakan perniagaan pada tahun 2015 secara kecil-kecilan dengan menghasilkan pelbagai jenis biskut raya bermusim seperti Almond London, Cheese Tart, Almond Roca, Samperit Klasik dan Suji Brunei yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Selepas tiga tahun, Nor Shakila terus mengorak langkah dengan memperluaskan kepakarannya dalam pembuatan pelbagai jenis kek seperti Kek Marble, Kek Coklat, Kek Cheese pelbagai rasa, Kek Sarang Semut, Kek Buah, Kek Pisang Dua Benua dan Seri Ayu Jelita.
Berkat minat yang mendalam serta semangat tidak pernah luntur, beliau kini berjaya membawa perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.
Kini, produk kek keluaran beliau telah berjaya menembusi pasaran di tiga buah vendor sekitar Kangar dan Alor Setar, iaitu Mum Heritage Kangar, Mizden, dan Mum Heritage Alor Setar.
Antara produk yang menjadi pilihan utama pelanggan ialah Kek Cheese Red Velvet, Kek Marble Coklat, Kek Pisang Dua Benua dan Seri Ayu Jelita.
Kisah kejayaan Nor Shakila membuktikan bahawa dengan ilmu, kesungguhan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk MAIPs, golongan asnaf mampu berdikari serta menjadikan bidang keusahawanan sebagai jalan keluar daripada belenggu kemiskinan.
Sementara itu, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) merupakan sebuah institusi latihan dan pembangunan yang diwujudkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi memperkasa golongan asnaf melalui program latihan kemahiran, keusahawanan dan pendidikan berterusan.
Penubuhan ATAM bertujuan melahirkan golongan asnaf yang berdaya saing, berdikari dan mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dengan membina potensi diri serta kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Melalui pelbagai kerjasama strategik dengan pelvagai agensi, institusi latihan dan sektor industri, ATAM berperanan sebagai platform transformasi sosial yang memberi peluang kedua kepada asnaf untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik seiring dengan aspirasi MAIPs dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan ekonomi.