Raja Muda Perlis: Semarakkan Budaya Ilmu Demi Melahirkan Masyarakat Beradab dan Berwawasan

Raja Muda Perlis Semarakkan Budaya Ilmu Demi Melahirkan Masyarakat Beradab dan Berwawasan

KANGAR, 14 Disember 2025 – Ilmu pengetahuan merupakan asas terpenting kepada kemajuan dan kemakmuran sesebuah negeri, malah masyarakat berilmu bukan sekadar memiliki pengetahuan, tetapi memahami tanggungjawab sosial dalam membangunkan ummah dan negara.

Titah tersebut disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sebagaimana menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), selepas Baginda berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs yang berlangsung di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi, di sini, baru-baru ini.

Menurut Baginda, budaya berfikir secara kritis, berdialog secara beradab serta berkongsi ilmu perlu terus disemarakkan agar Perlis berkembang sebagai sebuah negeri ilmu yang melahirkan masyarakat beradab, berakhlak mulia dan berpandangan jauh.

Keberangkatan Raja Muda Perlis disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Sempena program berkenaan, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih, terdiri daripada 15 orang anak kariah Guar Syed Alwi dan 15 orang anak kariah Padang Behor.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan zakat yang diagihkan pada majlis tersebut berjumlah RM21,000.

Program Hijrah Minda MAIPs berperanan sebagai platform penting dalam usaha membina masyarakat yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak, malah mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan negeri Perlis melalui perubahan minda serta gaya hidup yang lebih sejahtera dan bertanggungjawab.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.