Raja Muda Perlis seru pemeliharaan adat dan warisan kearifan tempatan

1 Oktober 2025 | Simpang Empat

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah agar adat dan warisan kearifan tempatan terus dipelihara serta dilestarikan bagi memastikan identiti negeri dan jati diri bangsa kekal utuh dalam menghadapi perubahan zaman.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Program MAIPs Peduli yang berperanan menyantuni umat Islam Perlis di samping mengukuhkan agenda dakwah dan kebajikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Warisan dan adat istiadat bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi merupakan akar budaya, tunjang pembinaan peradaban dan khazanah yang membentuk jati diri masyarakat. Maka usaha melestarikannya perlu dilaksanakan secara menyeluruh agar tidak hilang ditelan masa,” titah baginda.

Turut mengiringi keberangkatan ialah anakanda baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Pemeliharaan warisan merentas pendidikan, dokumentasi dan penghayatan
Tuanku Raja Muda menegaskan, pemeliharaan adat dan warisan perlu dilakukan melalui pendekatan menyeluruh, merangkumi aspek pendidikan, dokumentasi, promosi dan penghayatan dalam kehidupan seharian agar ia terus hidup dan diamalkan, bukan sekadar dipamerkan.

MAIPs melalui Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu terus memberi fokus terhadap pemeliharaan serta pengembangan warisan melalui pelaksanaan pelbagai kajian, dokumentasi dan promosi elemen seperti adat kehidupan, sukan rakyat, busana dan kulinari tradisional negeri.

Antara inisiatif berkaitan yang telah dilaksanakan termasuk:

Pelancaran Tengkolok Putra Julang Darjat

Promosi Pemakaian Kebaya Perlis

Dokumentasi warisan busana dan kulinari tempatan

MAIPs juga sedang melaksanakan beberapa kajian bagi memastikan adat dan budaya unik negeri Perlis yang luhur dan harmoni kekal terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

Bantuan kepada asnaf
Program kayuhan kali ini turut disertai oleh agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat setempat sebagai tanda sokongan terhadap agenda pelestarian warisan serta kesejahteraan rakyat.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih:

Noriza Morat (61)

Mat Hasan Saad (48)

Sity Ishah Mat (71)
Ketiga-tiganya dari Kampung Bunga Emas Timur.

Setiap penerima menerima RM700 wang tunai, kit MAIPs Peduli, dan beras fidyah.

Sokong ekonomi & seni tempatan
Sebagai melengkapkan keberangkatan, baginda turut meninjau Bengkel Batik Sensasi Asfa di Simpang Empat, bagi melihat keunikan seni batik tempatan yang merupakan sebahagian daripada seni warisan negeri.

Baginda kemudian berkenan singgah di Restoran Hidangan Tempatan Nipah Klasik yang mengetengahkan masakan warisan Perlis sebagai usaha mempromosi budaya dan memperkasa ekonomi komuniti tempatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.