Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bercita-cita melahirkan rakyat negeri Perlis yang mementingkan kesihatan dan proaktif dalam mencegah penyakit demi mewujudkan masyarakat yang menghargai kesejahteraan hidup.
Konsep celik kesihatan ini bukan sahaja melibatkan individu, tetapi juga kecekapan organisasi, iaitu institusi perubatan bertanggungjawab memastikan maklumat kesihatan disampaikan dalam bentuk yang paling mudah difahami oleh komuniti.
Tahap literasi yang tinggi membolehkan seseorang mencari, mengolah dan memanfaatkan data kesihatan bagi membuat keputusan yang bijak berkaitan dengan penjagaan diri yang merangkumi aspek pengetahuan dan motivasi dalam menguruskan risiko kesihatan fizikal serta mental.
Penggunaan bahan pendidikan yang moden, interaktif dan senang dicapai sangat penting untuk meningkatkan kesedaran serta mendorong perubahan gaya hidup yang lebih positif dalam kalangan rakyat.
Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah menyepadukan saringan kesihatan percuma bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
Saringan kesihatan yang diwajibkan kepada bakal penerima bantuan ini membolehkan pengesanan awal penyakit dilakukan dan rawatan segera diberikan.
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis bersempena dengan Program Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Sebanyak RM210,000 telah diagihkan kepada seramai 300 orang penerima asnaf, merangkumi 75 orang dari kalangan anak kariah Bangsal Lebah, 75 orang dari kariah Kota Kayang, 75 orang dari kariah Behor Temak dan 75 orang lagi dari kariah Behor Lateh.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs secara langsung kepada penerima terpilih, dengan setiap individu menerima RM700.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia