Raja Muda Perlis Terima Mengadap Ketua Akauntan Negara Bincang Piawaian Perakaunan Islam

17 Julai 2025 | Kuala Lumpur — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini berkenan menerima mengadap Ketua Akauntan Negara, Datuk Nor Yati Ahmad dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di ibu negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MAIPs, majlis mengadap tersebut turut disertai oleh Timbalan Ketua Akauntan Negara, Zainani Jusoh; Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengukuhan MAIPs, Datuk Rauf Rashid; serta Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Pertemuan ini bertujuan untuk menyembah maklum kepada Tuanku berhubung pembangunan Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW), yang sedang dibangunkan sebagai usaha penyelarasan pembentangan pelaporan kewangan dan perekodan transaksi aset oleh institusi-institusi Islam seluruh negara.

MAIPs SOKONG DIGITALISASI REKOD ADAT PERLIS BERSAMA ARKIB NEGARA
16 July 2025
Walaupun PPIBZW bersifat piawaian nasional, penggunaannya tertakluk kepada bidang kuasa negeri-negeri selaras dengan struktur pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan atas khidmat Jabatan Akauntan Negara dalam merintis pembangunan piawaian berkenaan. Baginda menekankan pentingnya penambahbaikan pengurusan kewangan Islam dilakukan secara berterusan dan proaktif, bukan sekadar reaktif terhadap teguran atau kelemahan yang berlaku.

Baginda juga menyarankan agar pentadbiran hal ehwal Islam di semua peringkat diberikan pendedahan serta latihan menyeluruh berkaitan pelaksanaan piawaian ini, demi menjamin ketelusan, profesionalisme dan integriti dalam pengurusan amanah umat.

Dalam pertemuan tersebut, Ketua Akauntan Negara turut memaklumkan kesediaan pihaknya untuk menjalin kerjasama lebih rapat bersama MAIPs termasuk dalam penganjuran latihan berkala serta pembangunan portal khas interaktif bagi memperkemas komunikasi antara Jabatan Akauntan Negara dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor ketika ditemui menyatakan bahawa MAIPs menyambut baik inisiatif ini yang akan memperkukuh lagi tahap profesionalisme pegawai kewangan Islam di peringkat negeri.

“Kekuatan sesebuah institusi Islam bukan hanya bergantung kepada niat yang ikhlas, tetapi juga kepada sistem yang telus dan berlandaskan piawaian yang diiktiraf,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, MAIPs kini giat melaksanakan pendigitalan sistem pengurusan kewangan selaras dengan Pelan Strategik Holistik MAIPs 2026–2030, termasuk usaha memperkukuh struktur kumpulan wang seperti Zakat, Wakaf, Sumber Am dan Pengurusan Amil.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content