KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menitahkan setiap pegawai masjid dan jawatankuasa kariah perlu sentiasa menjaga adab dan akhlak dalam setiap urusan pentadbiran dan interaksi dengan masyarakat.
Baginda bertitah, sikap amanah, ikhlas, sopan, menghormati sesama ahli kariah serta mengelakkan sebarang perselisihan yang boleh mencemarkan nama baik masjid atau surau adalah asas kepada keberkatan dan keberkesanan perkhidmatan masing-masing.
“Masjid ialah pusat ibadah, pendidikan, perpaduan dan kebajikan,” titah Tuanku Syed Faizuddin semasa merasmikan Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid Negeri Perlis 2025 di Dewan Warisan, di sini hari ini.
Kepada pengurusan 101 masjid dan 209 surau di negeri ini, baginda mahu mereka, khususnya empat masjid utama menjadi contoh terbaik dari segi pengurusan, pengimarahan dan pengukuhan akidah Ahli -Sunnah Waljamaah seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.
“Jadikan masjid sebagai pusat yang memancarkan cahaya ilmu, akhlak dan perpaduan kepada masyarakat,” titah baginda.
Titah Raja Muda Perlis lagi, keberkesanan peranan masjid tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat ahli jawatankuasa (AJK) kariah bersama agensi agama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs).
Sementara itu, baginda juga mahu pihak pengurusan masjid berusaha mencari pendekatan dan inisiatif di luar amalan biasa, yang dapat memberikan nilai tambah kepada kariah walaupun matlamat utama adalah untuk terus mengimarahkan masjid.
“Dari segi ekonomi, usaha penjimatan penggunaan elektrik dan air wajar diberi perhatian di samping penubuhan bank makanan atau dapur komuniti untuk membantu golongan asnaf.
“Masjid juga boleh mengusahakan projek agrokomuniti seperti kebun kecil atau tanaman hidroponik yang mampu menjadi sumber makanan dan menambah dana pengurusan,” titah baginda.
Raja Muda Perlis itu bertitah dari sudut kelestarian alam pula, projek tenaga hijau seperti pemasangan panel solar amat berpotensi mengurangkan kos operasi masjid.