5 September 2025, Bandung, Indonesia
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dalam menempuh arus dunia moden yang penuh cabaran, umat Islam perlu menjadikan akhlak sebagai benteng utama. Jelas baginda, kejayaan hakiki tidak hanya diukur melalui kepintaran semata-mata, tetapi juga melalui keperibadian yang luhur.
Baginda menegaskan bahawa kekuatan umat pula terletak pada jaringan persaudaraan serta semangat kebersamaan. “Hanya dengan bersatu dan saling menyokong, kita mampu membina masa depan yang lebih gemilang,” titah baginda.
Dalam masa sama, Raja Muda Perlis turut menekankan kepentingan kesungguhan dan komitmen dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi juga berakhlak mulia serta berwawasan global.
Titah berkenaan dizahirkan selepas baginda berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Al-Ama, Sari Ater, Jawa Barat, Indonesia. Sumbangan tersebut diterima oleh pegawai masjid, Rian Maulana.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Pasangan diraja berkenaan berada di Bandung sempena International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan turut menunaikan solat di masjid berkenaan.