4 September 2025, Chuping. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar seluruh lapisan masyarakat di negeri Perlis memperkukuh struktur tadbir urus, memperkemas sistem pemantauan dan pengurusan risiko, serta memperkasa mekanisme semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.
Titah baginda, langkah tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan organisasi, malah berperanan mendukung pencapaian matlamat strategik jangka panjang.
“Dengan semangat kekitaan, berpasukan dan kepimpinan yang berpandangan jauh, semua peringkat di negeri Perlis berupaya membawa organisasi masing-masing—baik awam mahupun swasta, besar ataupun kecil—ke tahap lebih tinggi, lebih dihormati, disegani serta diyakini masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun, Chuping, baru-baru ini.
Sempena program tersebut, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berjumlah RM105,000 yang diagihkan kepada 150 penerima, melibatkan 75 orang anak kariah Kubang Perun dan 75 orang anak kariah Panggas.
Setiap penerima bukan sahaja menerima bantuan tunai sebanyak RM700 seorang, malah turut diberi peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma serta menghadiri ceramah motivasi anjuran MAIPs bertajuk “Bangun Jiwa Asnaf.”