25 Oktober 2025 | Kuala Perlis
“Biarlah teknologi menjadi pemangkin kemuliaan insan, bukan pengganti kepada fitrah manusia. Inovasi yang benar-benar bermakna ialah yang memperkasa, memelihara dan memanusiakan kehidupan.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan disambut oleh para pegawai MAIPs serta masyarakat setempat yang hadir memeriahkan majlis.
Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa kemajuan negeri dan negara bergantung kepada sinergi antara universiti, industri dan komuniti.
“Universiti menyumbang ilmu dan penyelidikan, industri menawarkan kepakaran dan peluang, manakala komuniti menjadi penerima manfaat yang turut menyumbang perspektif dan keperluan sebenar rakyat,” titah baginda lagi.
Menurut baginda, kerjasama pelbagai pihak ini perlu digerakkan secara menyeluruh dan inklusif, selaras dengan pendekatan “whole-of-government, whole-of-society” (WOGOS), yang menekankan pentingnya kerjasama menyeluruh antara semua sektor bagi memastikan dasar dilaksanakan dengan berkesan serta kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara menyeluruh.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 45 orang asnaf terpilih daripada Anak Kariah Padang Besar Selatan, Al-Hussain, dan Tok Kaya Tanjong Gelam.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM31,500 pada majlis berkenaan.
Program Hijrah Minda yang berimpak sosial tinggi ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs di bawah naungan Tuanku Raja Muda Perlis dalam menyantuni golongan memerlukan, memperkukuh nilai-nilai murni, serta memelihara kesejahteraan ummah di negeri Perlis.