Dengan peningkatan bilangan peminat aktiviti berbasikal sejak akhir-akhir ini, adalah menjadi satu keperluan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan kempen keselamatan dengan lebih bersepadu melalui radio, televisyen serta media sosial bagi memberi kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan ketika berbasikal.
Setiap negeri juga boleh memikirkan untuk membina lebih banyak laluan khas kepada penunggang basikal seperti yang sudah dilaksanakan di Pulau Pinang, Putrajaya dan beberapa tempat lain ketika ini. Ianya bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti riadah ini dengan lebih selesa dan selamat.
Pada masa yang sama menguatkuasakan peraturan kepada para penunggang basikal perseorangan mahupun berkumpulan di mana pihak berwajib boleh berbincang dan menetapkan peraturan bagi penunggang yang menunggang di kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan dan kecederaan seperti di lebuh raya, kawasan hutan, berbukit, pendalaman dan sebagainya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Program UniMAP Ride Sempena Sambutan Hari Malaysia, Tahun 2020’ yang diadakan di Dataran Kampus Uniciti Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Sungai Chuchuh, Padang Besar semalam.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025