Bandung, Indonesia, 16 Sept 2025 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan universiti di Indonesia mahupun di peringkat antarabangsa, selaras dengan visi besar negeri Perlis untuk memperkukuh pendidikan global.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bertitah, universiti bukan sekadar medan menuntut ilmu, malah menjadi jambatan penghubung antara bangsa. Justeru, hubungan erat dengan universiti luar mampu memperkasa jaringan akademik serantau serta melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia global.
“Manfaatkanlah peluang kolaborasi yang terjalin. Gunakan ruang jaringan antarabangsa untuk memperluas pandangan, memperkasa kemahiran dan memperkukuh sahsiah. Jadilah generasi bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi menjunjung nilai kejujuran, amanah, disiplin serta cinta kepada bangsa dan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis – Kurma Daging Perlis di Restoran Sindang Reret, Bandung, Indonesia baru-baru ini. Program itu dianjurkan dengan kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel Sdn Bhd, sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.
Keberangkatan baginda bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, diiringi delegasi International Leadership Mobility 2025 UniMAP, telah disambut mesra oleh Pengurus Restoran, Erry Yoga Prakesa.
Restoran Sindang Reret yang terkenal dengan masakan Nusantara mempunyai empat cawangan di Ciwidey, Cikole Lembang, Surapati dan Karawang. Ia beroperasi sejak 1973 dan mampu menampung 300 tetamu dengan pilihan bufet serta menu ala carte, dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.