MELAKA, 12 Sept — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyertai ‘Program Cycle Jom Perlis’ yang turut disertai Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Program berbasikal sejauh 22 kilometer dan melibatkan lima perhentian itu bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan di antara kerajaan Perlis dan Melaka selain menyemarakkan sambutan Hari Malaysia yang akan dirai pada 16 Sept ini.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan untuk bersama-sama isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Abd Rahman melepaskan peserta program.
Penyelaras program Arif Faiz Zainudin berkata sebahagian peserta dari Perlis merupakan ahli Team Tayar Golek (TTG), sebuah pertubuhan berbasikal yang diasaskan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang bertujuan melaksanakan program kebajikan.
“Sehingga hari ini TTG telah melaksanakan 607 program termasuk Program Cycle Jom Perlis dan program hari ini bertujuan menyemai semangat cintakan negara dan menghargai erti kemerdekaan yang dikecapi selama ini,” katanya.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025