Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis berkenan lihat fenomena bersejarah “Bulan Berdarah”

Oleh: Sholina Osman
9 SEPT. 2025

Negeri Perlis yang terletak di utara Semenanjung Malaysia, turut berpeluang menyaksikan satu fenomena alam yang jarang berlaku iaitu gerhana bulan penuh atau lebih dikenali sebagai “Bulan Berdarah”, pada awal pagi isnin.

Program tontonan awam ini telah dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Astronomi Pulau Pinang, Balai Cerap Kenny Loh, Persatuan Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM) serta Sahabat Langit Utara (SALUT) bersama hos lokasinya iaitu The Wheel Estate Campsite, Chuping.

Beberapa teleskop disediakan di kawasan perkhemahan tersebut bagi memberi peluang kepada orang ramai yang hadir menikmati keindahan fenomena menakjubkan ini.

MEMBOLEHKAN KOMUNITI ASTRONOMI

Pada masa sama, siaran langsung turut diadakan untuk membolehkan komuniti astronomi di seluruh negara berkongsi pengalaman menyaksikan gerhana bulan penuh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, turut berkenan berangkat bagi menyaksikan fenomena bersejarah tersebut.

Menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Pemilik Campsite, Chew Heng Boon dan Jasmine Say serta Kenny Loh yang menyampaikan taklimat.

PROSES DAN PRINSIP

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda telah dipersembah maklum penerangan ringkas mengenai proses dan prinsip berlakunya gerhana bulan penuh, sebelum menyaksikan sendiri melalui teleskop fasa-fasa unik gerhana termasuklah kemunculan “Bulan Merah”.

Walaupun cuaca di Perlis pada siang hari diliputi awan mendung yang tebal, keadaan mula berubah sekitar pukul 12.30 tengah malam apabila fasa awal gerhana bermula.

Ketika itu, awan semakin beransur hilang, membolehkan orang ramai melihat dengan lebih jelas bulan yang mula memasuki fasa gerhana menggunakan mata kasar.

Fenomena “Bulan Berdarah” mencapai kemuncaknya pada jam 2.11 pagi, memperlihatkan cahaya merah samar yang menyelubungi bulan, sekali gus menambahkan lagi keindahan dan keunikan panorama malam tersebut. -JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content