Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis tinjau mangsa banjir

Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis tinjau mangsa banjir

Oleh: Sholina Osman
23 NOV 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar Padang Besar malam ini.

Hujan lebat berterusan yang melanda negeri ini telah mengakibatkan banjir, khususnya di kawasan Wang Kelian, Titi Tinggi, dan Lubuk Sireh.

Kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan keberangkatan Baginda berdua ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mata Air dan PPS Dewan
Felda Mata Air disambut Penghulu Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis selaku Urusetia Jawatankuasa Bencana Negeri Reswan Ramli, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mata Air kini menempatkan 264 orang mangsa dari Kawasan Titi Tinggi yang dipindahkan dari PPS asal iaitu di SK Titi Tinggi.

BERADA DI PARAS BAHAYA

PPS ini terpaksa ditutup ekoran air berada di paras bahaya manakala PPS Dewan Felda Mata Air pula
melibatkan 90 orang mangsa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa rakyat dan bertitah agar Prosedur Operasi Standard (SOP) Bantuan Bencana ditambah baik, khususnya melibatkan kawasan yang berisiko terputus hubungan.

“Pelaksanaan SOP bantuan boleh diperkemas, terutamanya bagi menangani isu mangsa terkandas dan terputus akses laluan seperti yang berlaku di Wang Kelian.

Pengupayaan teknologi moden seperti penggunaan dron dan sebagainya wajar dioptimumkan bagi tujuan pemantauan serta penghantaran bantuan ke lokasi yang sukar ditembusi,” titah Baginda.

Dalam perkembangan sama, selain dua PPS yang dilawati Baginda, terdapat dua lagi pusat pemindahan.

PPS SK FELCRA Lubuk Sireh kini menempatkan 71 mangsa.

LEBIH KRITIKAL DILAPORKAN

Situasi yang lebih kritikal dilaporkan di PPS Masjid Nurul Husna, Wang Kelian yang bukan sahaja menempatkan 150 penduduk tempatan, malah turut menjadi tempat berteduh bagi kira-kira 500 orang pelancong dan pengembara yang terkandas dalam perjalanan pulang dari Thailand akibat terputus hubungan jalan raya.

Pembukaan dan pengurusan PPS yang lancar ini adalah hasil sinergi dan kesiapsiagaan pelbagai pihak dalam menyediakan fasiliti perlindungan.

Ia melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Pengurusan FELDA dan FELCRA, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta MAIPs telah memberikan kerjasama penuh dengan membuka ruang bangunan sekolah, dewan orang ramai, dan masjid untuk kegunaan mangsa banjir.

Di samping penyediaan premis, MAIPs dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bertindak pantas menyalurkan bantuan awal pengurusan.

Usaha menyelamat dan memindahkan mangsa juga berjalan lancar dengan sokongan padu agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta pasukan RELA.

Keberangkatan Baginda berdua ini mencerminkan keprihatinan tinggi pihak Istana terhadap kebajikan rakyat jelata, terutamanya ketika berhadapan dengan musibah bencana alam. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.