KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan akan membawa kepada kestabilan negara.
Baginda juga berharap Ismail Sabri mampu mengurus dan menangani pandemik Covid-19 yang memberi kesan mendalam terhadap kehidupan rakyat.
“Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan dan berharap agenda pembangunan negara dapat diteruskan bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks DUN Perlis dekat sini pada Selasa.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah kombinasi dua situasi iaitu wabak Covid-19 dan iklim politik negara yang tidak menentu memberi kesan negatif kepada agenda pembangunan negara yang secara amnya terjejas dengan serius.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kekeliruan dan ketidaktentuan politik ini juga tidak sihat kepada iklim pelaburan negara dan pelabur tidak akan tertarik untuk melabur dalam situasi begini.
“Pelabur sedia ada mungkin akan menarik pelaburan mereka dan berhijrah ke negara lain yang dilihat lebih menarik,” titah baginda.
Titah baginda jika situasi begini berterusan, ia bakal merencatkan agenda pembangunan negara.
Tarikh kemaskini: 4/23/2025