13 Oktober 2025 | Kuala Lumpur
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bertitah agar Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Perlis (JDDPs) terus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkukuh kebajikan masyarakat serta memperluas jaringan keanggotaan demi manfaat rakyat dan negeri Perlis.
Baginda menzahirkan rasa sukacita melihat usaha murni JDDPs yang semakin berkembang, khususnya apabila dalam tahun-tahun kebelakangan ini pertubuhan tersebut turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dalam melaksanakan program sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf, terutamanya menjelang musim perayaan.
“Jamuan makan pada malam ini bukanlah sekadar sebuah pertemuan sosial, tetapi ia juga mengandungi elemen kebajikan yang akan disalurkan kepada Tabung Pendidikan Jemaah Dato’-Dato’, yang sejak penubuhannya telah digunakan untuk membantu pendidikan anak-anak yatim serta golongan asnaf,” titah Baginda.
Titah tersebut dizahirkan ketika Tuanku berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santapan Malam anjuran JDDPs sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82, yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Keberangkatan Tuanku Raja diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, serta isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah binti Abd Rahman.
Dalam ucapannya, Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Perlis, Mejar Jeneral Dato’ Hussin Md Tahak (B) menyatakan komitmen pertubuhan itu untuk terus memperluas bidang khidmatnya.
“Insya-Allah, mulai tahun hadapan, JDDPs akan memperluas bidang perkhidmatan melangkaui pendidikan merangkumi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Perlis. Namun, usaha ini pastinya bergantung kepada kemurahan hati para dermawan sekalian,” ujar beliau.
Majlis turut menyaksikan Tuanku Raja Perlis berkenan menyempurnakan upacara memotong kek Ulang Tahun diiringi Tuanku Raja Perempuan Perlis, serta melancarkan sebuah buku terbitan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), berjudul “Transformasi Sahsiah Belia Asnaf Perlis: Ke Arah Pembangunan Insan Yang Berdaya Saing dan Mampan.”
Buku berimpak tersebut merupakan hasil penulisan ilmiah oleh ahli akademik daripada UniMAP, USM, UniSIRAJ, UiTM dan IPG Kampus Perlis, yang membincangkan pelbagai isu belia asnaf serta strategi penyelesaian berasaskan ilmu dan nilai.
Antara topik yang diketengahkan termasuklah peranan bantuan zakat dalam memperkasa prestasi akademik pelajar asnaf, pembangunan model personaliti unggul pesalah juvana, serta penggunaan pendekatan kecerdasan pelbagai bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan sahsiah pelajar.
Kesemua penulisan tersebut menegaskan bahawa transformasi sebenar bukan sekadar perubahan tingkah laku luaran, tetapi juga melibatkan pembinaan jati diri yang kukuh, berprinsip dan berdaya saing.