HATYAI, Thailand, 17 Disember 2025 — Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat ke bandar Hatyai dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu susulan keadaan bandar itu yang masih terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda tiga minggu lalu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, banjir berkenaan telah mengakibatkan kerosakan harta awam dianggarkan bernilai RM1.3 bilion, selain menjejaskan operasi bandar secara menyeluruh.
Menurut beliau, sehingga kini kerja-kerja pembersihan pasca banjir masih giat dijalankan dengan kehadiran banyak lori serta kenderaan berat di sekitar bandar Hatyai, sekali gus menyebabkan pergerakan dan aktiviti awam terbatas.
“Kebanyakan premis makanan serta lokasi tumpuan pelancong masih ditutup. Selain itu, penyakit berkaitan pasca banjir turut dilaporkan menular, menyebabkan pusat-pusat perubatan di Hatyai berada pada tahap keupayaan maksimum dan sukar menerima pesakit baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa hujan lebat dijangka berterusan sehingga 20 Disember 2025, sekali gus berpotensi melambatkan proses pemulihan sepenuhnya di bandar tersebut.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan sebarang perancangan perjalanan ke Hatyai sehingga kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya dan semua premis makanan serta pusat tumpuan pelancong dibuka semula.
Kenyataan itu dikongsikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Ahmad Fahmi menerima sumbangan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 yang disampaikan secara simbolik oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, berkenan meninjau beberapa kawasan di Hatyai yang terjejas teruk akibat banjir, dengan diiringi oleh Ahmad Fahmi.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia