Rakyat Malaysia Disaran Tangguh Lawatan Kurang Perlu Ke Sempadan Thailand–Kemboja

Rakyat Malaysia

BANGKOK, 21 Disember 2025 — Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan lawatan yang tidak perlu ke kawasan sempadan Thailand–Kemboja serta mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang berada di Thailand, khususnya ketika musim cuti sekolah yang menyaksikan peningkatan jumlah pelancong ke negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Wan Zaidi Wan Abdullah, berkata rakyat Malaysia yang berada di Thailand digalakkan untuk mendaftar keberadaan mereka melalui e-mel dengan pihak Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, atau sekurang-kurangnya menyimpan nombor telefon pejabat perwakilan berkenaan bagi memudahkan urusan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Beliau berkata demikian selepas menerima simbolik Sumbangan Ibnu Sabil daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, di sini hari ini.

Turut berangkat mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail, yang berada di Bangkok sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025.

Wan Zaidi berkata, walaupun ketika ini tiada nasihat perjalanan rasmi dikeluarkan kepada rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Bangkok atau wilayah selatan Thailand, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil berikutan kebimbangan terhadap situasi keselamatan di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja serta kesan banjir besar yang melanda beberapa kawasan di selatan negara itu baru-baru ini.

“Bangkok kekal sebagai destinasi yang selamat untuk dikunjungi. Namun, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memastikan dokumen perjalanan disimpan dengan selamat serta berhati-hati terhadap ejen pelancongan tempatan atau individu yang menawarkan perkhidmatan pada kadar tidak munasabah dan berunsur penipuan,” katanya.

Sebagai langkah tambahan, beliau turut mengingatkan pelancong Malaysia agar menyemak ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan, mengambil insurans kesihatan bagi mengelakkan beban kewangan sekiranya memerlukan rawatan perubatan di luar negara, serta mendapatkan perlindungan insurans bencana atau banjir khususnya bagi mereka yang membawa masuk kenderaan sendiri ke Thailand.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.