Oleh: Sholina Osman
2 MAC 2026
RG Food Industries Sdn Bhd (RGFI) telah memeterai kerjasama strategik bersama Hotel Elopura di Sandakan, Sabah, sebagai langkah memperluaskan pasaran produk makanan tradisional negeri Perlis ke peringkat nasional.
Majlis simbolik pelancaran kerjasama ini disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berkenan berangkat bagi menyaksikan produk makanan warisan Perlis iaitu Kurma Daging Perlis, Kurma Ayam Perlis dan Pekasam Timah Tasoh itu diperkenalkan sebagai salah satu program sampingan sempena Program Eksesais Perlis–Sabah (Eks PERBAH) 2026 di bandar berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.
RGFI diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, manakala Hotel Elopura pula oleh pemiliknya, Datuk MD Affendi Hamdan. Kesemua produk ini merupakan keluaran RGFI di bawah jenama Duwan Easy Eat.
MENANDAKAN LANGKAH PENTING
Pelancaran ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran produk makanan tradisional Perlis di Sabah.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pengumuman kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara RGFI dan Hotel Elopura untuk memperkasakan menu tradisi Sandakan, iaitu Sambal Soqot, yang diperbuat daripada isi durian merah.
Sebelum ini, Sambal Soqot telah dikomersialkan oleh MD Affendi dalam bentuk bungkusan sejuk untuk memastikan ketahanan produk.
Melalui kerjasama strategik ini, RGFI akan menggunakan teknologi Thermal Decontamination System (TDS) untuk menghasilkan Sambal Soqot dengan rasa yang kekal asli dan tempoh simpanan lebih lama pada suhu bilik.
PASARAN LEBIH LUAS
Inovasi ini dijangka membuka peluang pasaran lebih luas, termasuk pengedaran runcit dan potensi eksport.
Sebagai sebahagian daripada persefahaman, Hotel Elopura akan berperanan sebagai ejen pemasaran bagi produk keluaran RGFI di bawah jenama Duwan Easy Eat di Sabah, manakala RGFI pula akan mengeluarkan Sambal Soqot menggunakan teknologi TDS untuk pengkomersialan berskala lebih besar.
Sesi pertukaran produk diadakan antara Pengerusi Eksekutif RGFI dan pemilik Hotel Elopura, menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam membina sinergi kukuh antara kepakaran pemprosesan makanan moden dan keunikan resipi tradisional tempatan.
PERLIS DAN SABAH
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan perdagangan antara Perlis dan Sabah, tetapi juga menonjolkan komitmen kedua-dua pihak dalam memartabatkan makanan tradisional Malaysia melalui inovasi teknologi dan strategi pemasaran progresif.
Inisiatif ini selaras dengan usaha memperkasa industri makanan tempatan ke arah lebih berdaya saing, mampan, dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia