Sukan woodball mampu latih emosi, daya tumpuan, pemikiran strategik – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
27 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa sukan woodball bukan sekadar mengasah kemahiran fizikal, malah turut melatih emosi, daya tumpuan dan pemikiran strategik, menjadikannya alat pendidikan tidak formal yang berkesan dalam membentuk sahsiah dan nilai murni pelajar.

Justeru, peranan golongan pelajar amat penting dalam memperkukuh pembangunan sukan ini di peringkat negeri.

Baginda turut menyeru Jabatan Pendidikan Negeri serta institusi pendidikan di Perlis agar terus menerus merancang program-program pembangunan woodball secara lebih berstruktur melalui penganjuran klinik latihan, pertandingan dan kursus kejurulatihan, supaya sukan ini terus berkembang sebagai aktiviti yang inklusif dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

KEPERCAYAAN MEMILIH PERLIS

Dalam pada itu, Baginda merakamkan penghargaan kepada Persatuan Woodball Malaysia (MWA) atas kepercayaan memilih Perlis sebagai tuan rumah siri terakhir Kejohanan Kebangsaan bagi tahun ini, di samping menyampaikan ucapan tahniah kepada Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) atas kepimpinan dan dedikasi menganjurkan kejohanan berprestij ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengiktiraf peranan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa serta menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa Laman Woodball di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra sebagai pusat sukan yang membanggakan negeri Perlis.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Woodball Terbuka Perlis 2025 yang berlangsung di Bangunan Canselori, UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden PWNPs, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perlis, Mohammad Suhaimi Md Saad.

DARI PELBAGAI NEGERI

Kejohanan edisi kali ini turut menjadi sebahagian daripada Sirkit Kebangsaan Siri Ke-4 Tahun 2025, menghimpunkan atlet dari pelbagai negeri termasuk Selangor, Kedah, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Kelantan.

Penganjuran di negeri Perlis sekali lagi membuktikan kemampuan negeri ini sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf nasional, sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan penganjuran kejohanan sukan yang semakin mendapat tempat di hati para penggiat sukan tanah air.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyaksikan penyampaian Cek Cura Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM35,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Persatuan Woodball Negeri Perlis, sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan memartabatkan sukan woodball serta memperkasakan pembangunan sukan di Negeri Perlis. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.