SWCorp Bersihkan 116 Kawasan Terjejas Banjir di Perlis

SWCorp Bersihkan 116 Kawasan Terjejas Banjir di Perlis

2Disember 2025.
Kangar.

SWCorp Negeri Perlis, dengan kerjasama syarikat konsesi Environment Idaman, telah melaksanakan Task Force Pembersihan Pasca Banjir melibatkan operasi pembersihan di 116 kawasan merangkumi 8,910 premis dalam kawasan operasi SWCorp yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Operasi ini digerakkan oleh 106 anggota Task Force bersama 36 unit jentera pembersihan, dengan penyelarasan serta pemantauan rapi oleh Bahagian Penguatkuasaan SWCorp. Tumpuan utama operasi adalah membersihkan kawasan-kawasan terjejas melalui kerja-kerja pengumpulan, pengangkutan dan pelupusan sisa banjir seperti sisa pukal, perabot rosak, peralatan elektrik, sisa domestik serta apa-apa barangan yang mengalami kerosakan.

Pembersihan dilaksanakan secara berperingkat dengan pemantauan berterusan bagi mengelakkan longgokan sisa yang boleh mengundang risiko pencemaran.

Task Force ini turut diperkukuh melalui kerja-kerja verifikasi lapangan oleh pasukan Penguatkuasaan SWCorp bagi mengenal pasti keperluan tambahan dari aspek logistik dan tenaga kerja, terutamanya di kawasan kritikal. Pendekatan ini memastikan proses pembersihan dapat dipercepat dan kelancaran pemindahan sisa ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Rimba Mas terus terjaga.

Berdasarkan operasi yang dijalankan dari 29 hingga 30 November 2025, sebanyak 32 kawasan telah berjaya dibersihkan dengan jumlah 107.42 tan sisa banjir direkodkan. Baki 84 kawasan lagi akan diselesaikan mengikut jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, SWCorp menyeru pemilik premis yang terjejas agar mengeluarkan sisa banjir seperti perabot rosak, barangan terendam, sampah pukal dan bahan buangan lain ke hadapan rumah atau premis masing-masing bagi memudahkan proses kutipan. Kerjasama ini penting untuk memastikan kawasan kembali bersih, selamat dan selesa untuk didiami.

Selain itu, SWCorp turut menyediakan 52 unit tong sampah dengan frekuensi kutipan harian di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu pengurusan sisa di lokasi penempatan mangsa banjir.

Maklumat ini telah dipersembah maklumkan oleh Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika Baginda berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) meninjau beberapa rumah mangsa banjir terpilih di sekitar Kampung Wang Ulu, Bintong.

Kayuhan MAIPs Peduli merupakan aktiviti berbasikal yang digunakan sebagai medium untuk mendekati masyarakat, menziarahi kampung-kampung serta menyampaikan bantuan zakat dan sumbangan secara terus kepada golongan asnaf.

Inisiatif ini bertujuan menyampaikan bantuan zakat dan sumbangan langsung kepada asnaf, mendekati masyarakat, memahami keperluan sebenar mereka dan menzahirkan keprihatinan melalui pendekatan turun padang serta memperkasa sistem kebajikan dan zakat supaya lebih proaktif, inklusif dan mesra rakyat.

Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Kasa Abdullah, 59 tahun, dari Kampung Wang Ulu Bintong, Adnan Abdullah, 59 tahun, dari Kampung Bohor Janggus Bintong dan Salbiah Hamid, 73 tahun, dari Kampung Wang Ulu Bintong.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.