Tanggungjawab utama mahasiswa perlu tuntut ilmu dengan penuh kesungguhan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
1 OKT. 2025

Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan masa depan.

Pembentukan integriti, etika dan disiplin diri amat penting agar generasi pelapis ini mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga bertitah, sebagai mahasiswa, tanggungjawab utama yang perlu digalas adalah menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan.

Ilmu bukan sahaja menjadi amanah untuk diri sendiri, malah turut dipikul demi keluarga, masyarakat, negeri, serta tanah air tercinta.

CABARAN SERTA KEBEBASAN

“Alam universiti membawa bersama cabaran serta kebebasan yang menuntut pelajar untuk lebih berdikari. Mahasiswa perlu bijak mengurus masa, emosi, serta pergaulan sosial, selain memanfaatkan kebebasan tanpa pengawasan ibu bapa dengan sebaiknya,” titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, selaku Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Kebudayaan Sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah Sarjana Muda UniMAP Sesi Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro-Canselor, dan disambut oleh Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli.

KEHADIRAN PELAJAR BAHARU

Minggu suai kenal ini merupakan acara tahunan anjuran UniMAP yang bertujuan meraikan kehadiran pelajar baharu yang terpilih melanjutkan pengajian di universiti ini.

Program ini memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai kehidupan kampus, budaya pembelajaran, serta suasana serba baharu, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di menara gading.

Dalam ucapan aluan, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli menyeru agar para mahasiswa tidak hanya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik, tetapi turut bergiat aktif dalam pelbagai bidang lain seperti sukan, persatuan, kokurikulum dan kebudayaan.

GENERASI PENERAJU MASA

“2,809 pelajar di hadapan saya ini ialah generasi peneraju masa depan yang bakal mendominasi pelbagai sektor industri. Dengan potensi serta usaha gigih anda semua, saya yakin para pelajar UniMAP akan terus menyumbang kepada peningkatan Hasil Kebolehpasaran Graduan (GE). Malah, tidak mustahil kita mampu mencapai sasaran 100 peratus graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian,” tambah Naib Canselor UniMAP itu lagi.

Majlis penuh berprestij ini menghimpunkan seramai 2,809 pelajar baharu tempatan serta 82 pelajar antarabangsa, sekali gus mencerminkan kekuatan UniMAP sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di persada global.

Acara pada petang itu turut diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan merangkumi nyanyian, sajak, tarian tradisional, teater, persembahan muzik, serta pertunjukan fesyen, yang berjaya memukau para hadirin dengan keunikan seni dan warisan budaya. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.