9Disember 2025.
Kangar.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan Teater Monolog Karya Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipentaskan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah JKKN Perlis, Shahrizal Abdan. Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abu Bakar Hamzah.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Warisan Budaya Melayu dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Pementasan monolog ini menampilkan karya-karya istimewa hasil buah fikiran para seniman OKU daripada pelbagai latar belakang. Setiap persembahan diangkat daripada kisah benar yang sarat dengan emosi, perjalanan hidup, serta perjuangan luar biasa mereka yang terus berkarya tanpa menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk melangkah lebih jauh dalam dunia seni.
Para pelakon tampil dengan penyampaian yang jujur dan menyentuh hati, memaparkan realiti kehidupan mereka yang penuh suka, duka dan ketabahan. Ia menjadikan pementasan ini bukan sahaja sebuah karya teater, tetapi juga manifestasi kekuatan, keberanian dan semangat juang mendepani cabaran hidup.
Antara pelakon yang terlibat ialah Ameera Ramlee (OKU penglihatan), Salman Al-Farisi (OKU fizikal), Saiful Khairi Ahmad (OKU fizikal), Shahriza Mahmud (OKU saraf), Rahmat Hj. Mohd Noh (OKU fizikal) dan Jasmi Abas (OKU fizikal).
Setiap daripada mereka membawa kisah, karakter dan jiwa yang tersendiri, sekali gus menyentuh perasaan penonton serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.