KANGAR: Rakyat negeri ini diingatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meskipun Perlis sudah beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, para majikan juga mestilah mematuhi SOP dengan setiap pekerja yang hadir adalah mengikut kapasiti yang telah ditetapkan.
“Mereka juga perlu memainkan peranan dengan memantau kakitangan masing-masing terutamanya yang tinggal dan berulang dari kawasan berisiko khususnya yang merentas sempadan negeri.
“Selain itu, pematuhan SOP dan kebiasaan baharu di tempat kerja hendaklah dilakukan sepanjang waktu bekerja,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Ilmi, Kampung Sungai Berembang Kuala Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, baginda turut mengingatkan para peniaga di negeri untuk terus mengamalkan kebiasaan baharu di dalam perniagaan.
“Pada masa yang sama, pastikan peniaga, pekerja dan pelanggan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
“Selain itu, inilah masa yang terbaik untuk menaik taraf perkhidmatan menggunakan platform digital dan menggunakan lebih banyak perkhidmatan penghantaran ke rumah,” titah baginda.
Tarikh kemaskini: 4/22/2025