Tiga bilik alatsuis di HTF Kangar terjejas pada insiden banjir di Perlis

Tiga bilik alatsuis di HTF Kangar terjejas pada insiden banjir di Perlis2

Oleh: Sholina Osman
10 DIS. 2025

Merujuk kepada insiden banjir pada 24 hingga 27 November baru-baru ini, salah satu daripada tiga bilik alatsuis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar iaitu yang berhampiran dengan Blok C yang membekalkan elektrik kepada Wad Blok C, Kompleks Pejabat Pengurusan serta Klinik-Klinik Pakar telah terjejas.

Terdapat beberapa cadangan yang diutarakan antaranya memindahkan dan mengambil punca bekalan elektrik daripada substation Blok B (kapasiti besar dan penggunaan ketika ini hanya 30 peratus sahaja), atau meninggikan kedudukan lantai substation Blok C.

Pihak kejuruteraan Hospital dan Edgenta berpandangan pilihan pertama iaitu pemindahan punca bekalan daripada blok B adalah lebih praktikal dan kos efektif.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr. Amin Sah Ahmad kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sempena Program Sumbangan MAIPs Peduli di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah, Arau, baru-baru ini.

KERJASAMA DAN SOKONGAN

Pada kesempatan yang sama Dr Amin Sah menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat negeri Perlis atas keprihatinan, kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh banjir yang melanda negeri ini baru-baru ini.

Menurut beliau, komitmen masyarakat dalam mematuhi arahan keselamatan, memberikan sokongan moral serta membantu melancarkan urusan perkhidmatan kesihatan amat dihargai, khususnya ketika situasi berada pada tahap paling mencabar.

Dr. Amin Sah turut menegaskan bahawa warga kerja HTF telah berusaha sebaik mungkin dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kritikal terus berjalan lancar. Empati, toleransi dan dedikasi luar biasa yang ditunjukkan oleh doktor, jururawat, paramedik serta kakitangan sokongan menjadi tonggak utama dalam memastikan masyarakat tetap menerima rawatan terbaik meskipun beberapa fasiliti hospital turut terjejas akibat bencana ini.

DALAM OPERASI BANJIR

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi banjir, di samping mengulangi komitmen HTF untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan serta ketahanan hospital dalam menghadapi situasi kecemasan pada masa hadapan.

Dr. Amin Sah juga mengambil maklum setiap pandangan serta maklum balas konstruktif daripada semua pihak, yang menjadi asas penting dalam usaha penambahbaikan fasiliti kesihatan negeri.

HTF komited untuk terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan melalui perancangan pembangunan jangka panjang yang lebih holistik dan inklusif merangkumi penambahbaikan kemudahan, pengukuhan sistem sokongan serta pembangunan kepakaran agar HTF kekal relevan, moden dan mampu memenuhi keperluan kesihatan masyarakat kini serta generasi akan datang.

Di program tersebut Tuanku Raja Muda berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM47,000 kepada seramai 94 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Kubang Gajah, dengan setiap di antara mereka menerima RM500. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.