Tuanku Syed Faizuddin Tinjau Pusat Pembuatan Kenderaan Taktikal Negara

19 Julai 2025 | Semenyih — Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kilang Cendana Auto Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengeluar kenderaan taktikal terkemuka negara yang terletak di Semenyih, Selangor.

Turut mengiringi Baginda dalam lawatan ini ialah anakanda-anakanda Baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut mesra oleh Pengarah syarikat, Abdul Rauf Nassiruddin, dan Ketua Pegawai Operasi, Shahrinoldin Othman. Hadir sama ialah Penasihat Syarikat, Jen (B) Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, serta rakan strategik syarikat, Datuk Seri Hj Ahmad Sukimi Ibrahim.

Cendana Auto Sdn. Bhd. memainkan peranan penting dalam industri pertahanan negara melalui pengeluaran pelbagai kenderaan taktikal berteknologi tinggi, termasuk model seperti Special Operations Vehicle (SOV), Fitted For Radio (FFR), serta kenderaan pembawa mortar dan varian lain yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kilang ini turut berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Pembuatan (R&D and Manufacturing Centre), yang menumpukan kepada pembangunan reka bentuk prototaip, inovasi teknologi terkini, dan pengeluaran berskala besar.

Selain pembuatan, Cendana Auto turut menyediakan perkhidmatan baik pulih dan penyelenggaraan (MRO), pembekalan alat ganti, serta penyewaan kenderaan bagi sektor pertahanan dan awam — menjadikannya penyumbang utama dalam ekosistem sokongan pertahanan negara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meninjau pelbagai fasiliti teknologi tinggi syarikat, termasuk Makmal Elektrikal, Unit Rondaan Mudah Alih, Kabin Belakang GS Cargo MATM, serta kawasan kerja mengecat dan kerja badan. Baginda juga meneliti empat prototaip kenderaan: Magatti, FFR dan Vektor, yang melambangkan kemajuan kejuruteraan tempatan dalam bidang pertahanan automotif.

Lawatan ini mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pemerkasaan industri strategik tempatan dan aspirasi memperkukuh keupayaan pertahanan negara melalui inovasi dan teknologi tempatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content