KANGAR: Umat Islam di seluruh dunia diseru mempertingkatkan lagi potensi dan kekuatan diri masing-masing dalam berdepan situasi pandemik Covid-19.
Dalam masa sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menggesa semua pihak saling memberikan sokongan dan sumbangan dalam mewujudkan kekuatan kepada peradaban serta ketamadunan manusia di persada dunia.
“Sesungguhnya, wabak (Covid-19) yang melanda dunia telah memberikan kesan begitu besar terhadap gaya hidup, corak perhubungan dan komunikasi serta nilai insan manusia.
“Selain tanggungjawab dan usaha global yang bersepadu, setiap negara juga perlu memperkukuh keupayaan dan sistem penjagaan kesihatan masing-masing dalam usaha mengatasi wabak ini.
“Justeru, ia akan memberi sinar dan harapan baharu kepada semua apabila virus ini berjaya dikawal dan pelbagai pembangunan khususnya ummah dan umat Islam di seluruh dunia dapat diteruskan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Seminar Ummatan Wahidah edisi ke-7 yang julung kalinya diadakan secara dalam talian di sini sebentar tadi.
Program tahunan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis-Majlis Agama Islam enam Wilayah Andaman, Thailand itu turut disertai ketua-ketua serta ahli Majlis Agama Islam dari Krabi, Phuket, Trang, Phang Nga, Ranong dan Satun.
Ahli panel pada sesi yang diadakan secara digital itu ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang menyampaikan tajuk toleransi Islam dalam suasana Muslim masa kini.
Selain itu, wakil dari Majlis Agama Islam enam Wilayah Andaman Thailand, Ustaz Abdullah Akem pula menyampaikan ucapan dengan tajuk risalah Islam agama rahmat.
Moderator bagi dua slot yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Suara Sunnah Channel, MAIPs serta Jabatan Mufti Negeri Perlis itu ialah Ahli Jawatan kuasa pengurusan wakaf MAIPs,Ustaz Mohd Rizal Azizan.
Tarikh kemaskini: 4/23/2025