Wartawan JM
27 NOV. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggerakkan Misi Bantuan Banjir bagi membantu para pelajar dan staf universiti yang terjejas akibat bencana banjir melanda beberapa kawasan di sekitar Arau dan Kangar sejak beberapa hari lalu.
Melalui operasi yang diselaraskan oleh Task Force Bencana UniMAP yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, pasukan bantuan turun padang ke lokasi penempatan pelajar dan staf bagi menyalurkan keperluan asas serta sokongan segera.
Bantuan yang digerakkan meliputi pengagihan lebih 50 pek makanan, bantuan pembersihan rumah, selain pemantauan keselamatan di kawasan terlibat.
DIKENAL PASTI TERJEJAS
Sehingga kini, seramai 48 pelajar dan 65 staf dikenal pasti terjejas dan diberikan perhatian segera oleh pasukan UniMAP.
Dalam masa sama, UniMAP turut membuka Dewan Serbaguna Kampus Kubang Gajah serta Dewan Ilmu sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang kini masing-masing menempatkan 60 dan 131 keluarga daripada komuniti sekitar yang memerlukan perlindungan selamat sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, menyatakan komitmen universiti dalam membantu komuniti terkesan selaras dengan peranan UniMAP sebagai universiti untuk masyarakat.
MENGGERAKKAN TENAGA KERJA
“Sebagai universiti yang dekat dengan komuniti, UniMAP sentiasa bersedia menggerakkan tenaga kerja dan fasiliti kami demi keselamatan serta kebajikan pelajar, staf dan masyarakat sekeliling.
Dalam saat-saat sukar seperti ini, keutamaan kami adalah memastikan bantuan sampai segera dan mangsa ditempatkan di lokasi yang selamat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (POTENSI) Kesatuan Kakitangan Pelaksana (KESONA) dan Persatuan Kakitangan Akademik (PKA), semua sukarelawan, staf, serta agensi kerajaan negeri Perlis yang bersama-sama menyelaras operasi bantuan ini.
PRIHATIN DENGAN SITUASI
Selain itu, prihatin dengan situasi yang dihadapi, pihak universiti turut membenarkan staf yang terlibat banjir untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dan mengambil cuti kecemasan.
Terdahulu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Ilmu.
Berkenan berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro
Canselor UniMAP dan anakanda Baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail selaku Pro Canselor 2 UniMAP.
UniMAP akan terus memantau perkembangan banjir dan mengaktifkan penambahan bantuan melalui Tabung Kebajikan Staf yang akan disalurkan dengan kadar segera bagi meringankan bebanan staf yang terkesan dengan bencana ini. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia